KENANGAN… Sebahagian peserta Program Santai Golf Jalinan Mesra Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) Sabah merakam gambar kenangan sebelum memulakan saingan di Pasir Putih Golf Club (PPGC), Ranau, hari ini.
RANAU: Program Santai Golf Jalinan Mesra anjuran Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) Cawangan Daerah Ranau berjaya menghimpunkan pesara-pesara pendidikan dalam suasana penuh muhibah di Pasir Putih Golf Club (PPGC), di sini, hari ini.
Penganjuran julung kali itu diadakan bersempena sambutan Kaamatan, Hari Raya dan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah 2026, dengan matlamat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pesara pendidikan di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan.
Kejohanan yang menggunakan format sembilan lubang itu diselaraskan oleh Pengerusi Kejohanan, Cikgu Jamain Abd Halim yang juga Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi 5PM Cawangan Daerah Ranau.
Sementara itu, Pengerusi 5PM Cawangan Daerah Ranau, Majus Munsing berkata program tersebut diharap dapat dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh hubungan persaudaraan, selain mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan ahli persatuan di seluruh negeri.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada pesara pendidikan untuk terus aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform terbaik mengukuhkan semangat kekitaan serta menghargai sumbangan mereka kepada dunia pendidikan,” katanya.
Turut menyertai kejohanan itu ialah Pemangku Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) Sabah, Datuk Dr Dayu Sansalu, yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Sabah pada 2017.

JUARA KATEGORI… (Dari kiri) Haji Azmi Ahmad, Datin Buhaseh Sakunir, bergambar selepas menerima hadiah disampaikan Datuk Dr Dayu…Tiada dalam gambar, Jasli Haji Suratman.
Dalam saingan kategori Open Nett, Haji Azmi Ahmad muncul juara selepas mencatat 35 nett, mengatasi Abbas Saidin di tempat kedua menerusi kiraan balas selepas kedua-duanya terikat dengan catatan sama, manakala Jamirin Sahamin menduduki tempat ketiga dengan 36 nett.
Bagi kategori Super Senior Nett, Jasli Haji Suratman muncul juara dengan catatan 36 nett, diikuti Mahmud Jahar di tempat kedua, sementara Dr Dayu Sansalu melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
Dalam kategori Ladies Nett, Datin Buhaseh Sakuni menjuarai pertandingan selepas mencatat 40 nett, manakala Salina Butit muncul naib juara dengan 41 nett.
Program itu bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan pesara pendidikan, malah membuktikan komitmen berterusan 5PM Sabah dalam memperkasa aktiviti rekreasi dan kesukanan sebagai medium meningkatkan kesejahteraan serta semangat kebersamaan dalam kalangan ahlinya.



