TERIMA KASIH………Jonathan menerima cenderahati dari pada penganjur bersama dua yang lain.
RANAU: Adalah sangat penting bagi semua pihak menjaga kebajikan dan kesejahteraan pendidikan anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan seawal yang mungkin, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Katanya, ibu bapa terutamanya, berperanan yang amat penting dalam menghantar anak-anak mereka ke tabika atau ke sekolah dan mempercayai tanggungjawab para guru untuk mendidik anak-anak mereka.
Menurut beliau, para tenaga pengajar sentiasa memberikan bakti dan khidmat yang terbaik sebanyak yang mereka mampu dalam membina anak-anak menjadi insan yang terbaik.
Sebagai MP di sini, Jonathan berkata, beliau sentiasa mendapat perkhabaran tentang mana-mana bangunan Tabika Kemas yang perlu diperbaiki dari pelbagai segi termasuk paip, eletrik dan sebagainya.
“Kita faham juga bahawa peruntukan setiap tahun dari kerajan untuk tabika-tabika di sini tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan mereka dalam membuat pembaikan atau pembinaan baru.
“Justeru, wakil rakyat yang ada berusaha untuk membantu mana yang terdaya. Jadi pada hari ini berkenaan dengan apa pembaikan yang perlu dibuat, kita sarankan agar tabika membuat surat secara rasmi tentang apa yang perlu dibaiki.
“Kita akan berusaha membantu sedaya mana yang kita dapat supaya kanak-kanak yang bersekolah di sini dapat belajar dengan lebih selesa,” katanya.
Datuk Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Kaamatan Tabika Kg. Bitoon yang diadakan disini pada hari Khamis.
Berkaitan sambutan itu, beliau berharap agar ianya dapat dirayakan dalam suasana yang aman, harmoni dan cukup mesra sambil menjalinkan hubungan yang baik antara ibu bapa, guru-guru dan masyarakat di kampung ini.
“Kita bersyukur kerana kita dapat berkumpul di Balai Raya kampung ini meraihkan Kaamatan bersama kanak-kanak tadika dari kampung ini yang begitu gembira pada hari ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua yang bertungkus lumus menjayakan sambutan ini, terlebih lagi kepada pihak penganjur, dan berharap sambutan yang sama juga dapat diadakan pada masa akan datang.
“Terima kasih juga buat ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada penganjuran majlis ini pada hari ini. Kehadiran anda menunjukkan sokongan kepada anak-anak yang masih kecil dan juga kepada pihak tabika,” katanya.
Turut hadir, Ketua Unit Kesejahteraan Paginatan, Ivan Mario Benedict, Pengerusi Penganjur, Johny Yundang, Cikgu Nooraznah Binti Matsam, pembantu guru, lizie Lim Hui Yen, ibu bapa, para pemimpin masyarakat setempat dan juga para kakitangan dari Pejabat Parlimen Ranau.



