ELMER …Pegawai Eksekutif MDR
RANAU: Majlis Daerah Ranau (MDR) mengeluarkan arahan tegas kepada semua syarikat dan individu yang terlibat dalam pengangkutan sisa pepejal agar memastikan muatan sampah ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan pencemaran di sepanjang jalan utama daerah ini.
Langkah itu diambil susulan aduan orang awam mengenai sampah sarap bertaburan di laluan dari Pekan Ranau ke simpang tapak pembuangan sampah.
Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada lori dan kenderaan yang membawa sisa tanpa menutup muatan dengan sempurna, menyebabkan plastik dan sampah ringan terjatuh ke atas jalan.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer Endra M. Sator berkata, insiden itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan tetapi turut mencemarkan pemandangan serta menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
“Semua pihak yang terlibat dalam pengangkutan sisa pepejal, sama ada swasta atau persendirian, diwajibkan menutup muatan dengan kanvas atau penutup yang sesuai bagi mengelakkan tumpahan
“Pemantauan berkala akan dijalankan oleh pihak majlis, dan tindakan kompaun serta notis amaran akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar arahan di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Seragam 2010”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis menyeru semua pihak untuk bekerjasama menjaga kebersihan dan imej Bandar Kecil Ranau sebagai sebuah destinasi pelancongan yang bersih dan selamat.



