GIMIK…Arifin menulis kaligrafi Cina sebagai gimik pelancaran Pesta Tanglung 2025.
MEMBAKUT: Sambutan perayaan pelbagai kaum merupakan wadah untuk menjalinkan muafakat, keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, selain daripada aspek pembangunan daerah penuh Membakut, perpaduan dan keharmonian juga menjadi prioriti dalam kepimpinan kerajaan hari ini.
“Di Membakut ini juga ada masyarakat Tiong Hua dan kita hidup berbagai kaum dengan penuh harmoni.
“Kita raikan apa-apa perayaan yang dianjurkan oleh masyarakat berbagai kaum. Sebelum ini kita meraikan Krismas, hari ini kita di ambang Tahun Baru Cina.
“Bulan depan kita akan berdepan dengan Ramadan dan Aidilfitri. Selepas itu, kembali ke Pesta Kaamatan dan berbagai program yang akan kita anjurkan di Membakut.
“Malah, jadual pada 2025 memang banyak kita atur untuk memeriahkan semua perayaan yang dihadiri atau diraikan oleh berbagai kaum dan seperti mana yang saya maklumkan, Membakut ini akan terus kita bangunkan.
“Kita sudah menjadi satu daerah penuh Membakut dan Bongawan dan kita juga akan memastikan pembangunan akan menjadi sebahagian daripada daerah ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Pesta Tanglung sempena Tahun Baharu Cina 2025 di sini, pada Rabu.
Pada majlis tersebut, Arifin turut menyampaikan sumbangan kepada tiga tokong Cina di sekitar Membakut.
“Seperti mana biasa apabila ada perayaan, kita akan menyampaikan sumbangan untuk rumah ibadat mereka atau persatuan kebudayaan masing-masing.
“Sebelum ini, kita menyumbang kepada semua gereja dan semua pimpinan agama Kristian,hari ini Tahun Baharu Cina dan akan datang bulanRamadan insyaAllah kita akan memberikan sumbangan juga kepada masjid-masjid dan surau,” ujar beliau.
Dalam majlis berasingan, Arifin yang diiringi Pegawai Daerah Ibrahim Terki menyantuni para peniaga Tiong Hua dan mengagihkan buah limau kepada lebih 50 premis di sekitar Pekan Membakut serta beberapa premis lagi di kampung-kampung.
Masyarakat Tiong Hua merupakan kaum minoriti di Membakut namun, asimilasi budaya bersama penduduk tempatan sejak beratus tahun dahulu menyebabkan golongan tersebut turut mengamalkan budaya tempatan serta fasih berbahasa Brunei. -Penerangan-