32 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sambutan Krismas Peringkat Paroki Ranau meraih


Uskup Agung Datuk John Wong memotong reben untuk membuka bangunan gereja baharu sambil diperhati oleh Fr Edward, Fr Jalius dan lain-lain2 – Uskup Agung ketika menyampaikan homilinya di bangunan chapel baru St Cornelius The Pope pada hari Selasa


RANAU: Ratusan umat berhimpun di Kapel St Cornelius The Pope di Kg Kinasaraban Baru untuk meraikan Sambutan Krismas Peringkat Paroki yang dipimpin oleh Uskup Agung Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Yang Amat Mulia Datuk John Wong Soo Kau pada Selasa.


Selain meraikan Krismas, acara dua dalam satu itu juga menandakan pemberkatan dan pembukaan rasmi bangunan gereja yang baru siap dan menara salib baharunya.


Dalam homilinya, Uskup Agung mengajak umat untuk merenungkan Bayi Yesus yang dilahirkan ke dunia sebagai Raja Damai, yang bukan sahaja membawa kedamaian kepada dunia, tetapi juga kepada hati dan fikiran umat manusia.


“Tidak dinafikan hari ini kita menghadapi pelbagai cabaran, sama ada dalam keluarga, dalam Paroki, dalam komuniti mahupun dalam masyarakat dunia.
“Tetapi apabila Kristus bersama kita, walaupun hidup kita mungkin tunggang terbalik, kita akan sentiasa beroleh kedamaian,” katanya.


Beliau seterusnya berkata, “maksud sebenar Krismas ialah Tuhan menjadi manusia dan diam bersama kita – Immanuel.


“Ke arah itu, semasa musim Krismas ini, kita mesti memastikan diri kita bahawa Dia bersama setiap daripada kita.


“Kemudian jika Dia bersamamu, bagaimana seharusnya hidupmu?” katanya, sambil mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersaksi tentang Kristus dalam kehidupan mereka.


Sementara itu, ketika berucap selepas misa itu, Uskup Agung memuji masyarakat di sini yang sentiasa bersatu padu dan menjayakan majlis tersebut.


“Saya sangat gembira dapat bersama anda meraikan Ekaristi Krismas di Kg Kinasaraban Baru tahun ini. Sambutan jemaah gereja dan koir yang hebat semasa Misa Kudus perlu diteruskan.


“Saya diberitahu bahawa kapel St Cornelius the Pope ini dibina dalam kalangan rakan-rakan dan Pengerusi Komuniti Umat Kristian (KUK) juga merupakan Ketua Kampung di sini. Ini bagus untuk masyarakat.


“Terima kasih atas kerjasama semua anggota masyarakat di sini, terutama penyumbang utama, Lee Color Advertising Sdn Bhd, yang membolehkan kita melihat bangunan gereja dan menara salib baharu siap hari ini,” katanya.


Turut diadakan pada majlis itu ialah persembahan daripada kumpulan kanak-kanak dan belia dari St Cornelius The Pope, upacara memotong kek Krismas serta cabutan tiket bertuah.

Turut hadir ialah Paderi Paroki St Peter Claver Ranau, Rev Fr Edward Raymond, penolong paderi, Fr Maxmilliano Hontor dan Fr Ned Columba Moujing, Paderi Paroki St Edmund Kota Belud, Rev Fr Jalius Sading, Pengerusi MPPR Ranau, Verus Pinol dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN