OTAI KM ingin memburu kejuaraan sulung di Ranau
RANAU: Siapakah yang akan menjuarai Piala Taralamas Veteran Sabah yang telah berlangsung sejak beberapa bulan lalu masih menjadi teka-teki hingga kini.
Pada awalnya antara pasukan yang diramal ke pusingan akhir dan berpeluang menjadi juara ialah pasukan DBKK Vet yang kalah mengejut menerusi sepakan penalti ke atas CLASICO A (4-5), KUDAT Clasic yang ditewaskan oleh OTAI KM juga melalui sepakan penalti (2-4), BOMAG Legends yang tewas 1-2 kepada KUDAT Clasic dan CLASICO A yang ditewaskan oleh NABAWAN VET juga melalui sepakan penalti (3-5) pada separuh akhir. Kebanyakan perlawanan pada Sabtu dan Ahad lalu diheret hingga ke sepakan penalti setelah seri pada tambahan masa 20 minit yang diberikan oleh pengadil.
Jika diimbas perjalanan perlawanan yang dilalui sebelum ini, pasukan OTAI KM dan NABAWAN VET masing-masing mempunyai peluang terbuka berdasarkan mutu persembahan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan terutama ketika di pusingan separuh akhir yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Nalapak baru-baru ini.
Menurut Pengarah Kejohanan, David Julian apapun keputusan, matlamat menganjurkan kejohanan iaitu merapatkan persahabatan di kalangan pemain hampir tercapai.
NABAWAN VET..akan berjuang habis-habisan
“Terimakasih kepada semua pengurus pasukan kerana sentiasa mengingatkan para pemain agar bermain dengan menunjukkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi. Kita bersyukur kerana setakat ini tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Semua pemain dapat mengawal perasaan dan saling bermaafan selepas perlawanan,” jelas David.
Menurut David lagi, perlawanan akhir akan diadakan pada 31 Ogos ini bertempat di Padang Pekan Ranau. Beliau menyeru kepada para peminat bola sepak di sekitar pekan agar dapat datang menyaksikan dan memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan. Turut dijangka merasmikan perlawanan akhir tersebut ialah Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.