Garido
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Sabah FC yakin dapat terus memberi tentangan sengit kepada Selangor FC untuk tempat ke suku akhir saingan Piala FA selepas kedua-duanya terikat seri 2-2 pada perlawanan pertama Pusingan 16 Pasukan di Stadium Likas malam tadi (Rabu).
Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata, persembahan yang dipamerkan pemainnya pada perlawanan itu cukup meyakinkan walaupun berhadapan dengan lawan yang lebih gah dalam arena bola sepak negara.
​Garido malah percaya Sabah sepatutnya mampu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan meledak lebih banyak gol sekiranya jentera serangan lebih tajam di hadapan gawang.
​”Kita telah mencipta peluang yang cukup daripada permainan terbuka untuk menjaringkan gol. Jika kita bertuah sedikit lagi atau lebih tajam di hadapan gol, kita boleh menamatkan perlawanan ini dengan kelebihan.
​”Perasaan saya sepanjang perlawanan adalah sangat positif. Kita bertarung secara terbuka dengan mereka dan perlu mengekalkan pendekatan sama untuk pusingan kedua. Jika kita mula berasa takut, mereka pasti akan mengambil kesempatan,” katanya selepas perlawanan.
Sekitar 7,000 penonton yang menyaksikan perlawanan sengit itu dihidangkan gol pertama oleh pasukan tuan rumah menerusi tandukan Dane Ingham pada minit ke-33.
Selangor Bagaimanapun hanya perlukan kurang dari tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Kay Tejan untuk kedua-dua pasukan meneruskan babak kedua pada kedudukan seimbang.
Bersambung babak kedua, giliran Selangor berada di hadapan hasil jaringan Chrigor Moraes pada minit ke-50 namun sorakan gemuruh penyokong tuan rumah kembali bergema apabila Halim Saari melepaskan rembatan padu pada minit ke-58 untuk mengikat kedudukan 2-2 dan kedudukan iru kekal sehingga wisel penamat.
​Menjelang aksi timbal balik di Stadium MBPJ, Petaling Jaya kelak, Garido menekankan aspek pemulihan fizikal pemain serta perincian taktik menjadi fokus utama bagi memastikan Sabah bersedia sepenuhnya menundukkan kSelangor di tempat lawan.
​Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mengakui kehebatan skuad Sabah dan persekitaran Stadium Likas memberikan cabaran hebat buat anak buahnya.
​”Bila bermain di tempat lawan seperti di Sabah, persekitaran di sini amat mencabar. Keadaan padang dan kelembapan udara sangat sukar buat pemain kita.
​”Sabah berjaya menjaringkan dua gol dan kita perlu buat analisis untuk memperbetulkan bahagian pertahanan sebelum perlawanan seterusnya,” jelas Pan Gon.
Kedua-dua pasukan akan beradu lagi untuk perlawanan kedua saingan timbal balik itu pada 9 September di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.
Sebelum itu, Sabah bagaimanapun akan memberi tumpuan kepada saingan Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Likas pada 5 September.



