26 C
Kota Kinabalu
Selasa, Oktober 22, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sabah umum SOP sektor pertanian

Masidi Manjun – gambar fail BDB

KOTA KINABALU: Sabah pada Isnin mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang membenarkan 80 peratus kapasiti pekerja untuk sektor pertanian berkuat kuasa 12 Julai.

Sebelum ini hanya 60 peratus kapasiti pekerja dibenarkan untuk sektor itu.

SOP terbaharu untuk sektor pertanian terpakai kepada ladang getah, koko dan kelapa sawit, ternakan, tanaman/pertanian, industri dan perkilangan berasaskan pertanian termasuk getah, koko dan kelapa sawit.

SOP sama terpakai kepada kedai input pertanian (jentera, peralatan, baja, herbisida/racun serangga), kedai perkakasan (jentera pertanian, jentera berat, enjin sangkut dan alat ganti), dan bengkel jentera pertanian dan peralatan.

Ini termasuk kedai elektrik (termasuk untuk simpanan sejuk, pemprosesan dan peralatan untuk simpanan, pengangkutan dan pembungkusan), pemasaran tempatan produk pertanian, ternakan dan perikanan dan input pertanian, eksport dan import produk pertanian, institut dan pusat pertanian, haiwan dan perikanan.

Semua di atas kecuali pemasaran tempatan untuk produk pertanian (termasuk getah, koko dan ladang kelapa sawit) ternakan dan perikanan serta input pertanian, dibenarkan untuk beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 8 malam sejajar dengan SOP sedia ada, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, pemeriksaan suhu badan, pendaftaran dan sebagainya.

Bagi pemasaran produk pertanian (termasuk getah, koko dan kelapa sawit) ternakan dan perikanan serta input pertanian, waktu operasi akan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Waktu operasi dari jam 6 pagi hingga jam 3 petang dibenarkan untuk nelayan berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sabah di kawasan Esszone di jeti yang dibenarkan tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh ketua polis daerah masing-masing.

Sementara Kompleks Safma Kota Kinabalu dibenarkan beroperasi dari jam 12.01 pagi hingga jam 7 malam.

Nelayan pantai, laut dalam dan akuakultur kecuali di kawasan Esszone dibenarkan untuk beroperasi 24 jam.

Sementara itu, kluster, kontak rapat dan saringan bersasar terus menyumbang kepada peningkatan jumlah kes harian di Sabah dengan 298 kes, menurut jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semalam.

Kota Kinabalu mencatat jumlah paling ramai dengan 67 kes baharu dari kluster sedia ada dan kontak rapat.

Sementara kluster Kayu Patikang di Keningau merekodkan 37 kes, Tawau (38 kes), Beaufort (36 kes), Kudat (32 kes), Penampang (19) dan Kota Belud (18).

Walaupun tidak ada kluster baharu direkodkan di Sabah pada Isnin, Negeri ini menyaksikan dua kematian Covid-19, iaitu di Lahad Datu dan Papar.

Sabah turut menyaksikan beberapa lokaliti di tiga daerah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dari 14 hingga 27 Julai.

Kawasan-kawsan itu ialah Taman Muhibbah Fasa 1, 2 dan 3 (Beaufort), Kampung Patikang Ulu, Kilang dan Kuarters Focus Lumber, Kilang dan Kuaters Varacity, Kilang dan Kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan Penempatan Indonesia (Kg Patikang Ulu Keningau), Kg Madsiang, Apartmen Beverly Hills II dan Kg Kobusak (Penampang).

PKPD di beberapa lokaliti di empat daerah akan berakhir mengikut jadual pada 13 Julai.
Sementara itu, untuk Dos Satu Fasa Dua program vaksinasi, sebanyak 6,354 suntikan baharu diberikan menjadikan jumlah kumulatif 351,718 orang.

Untuk Dos Dua Fasa Dua, sebanyak 7,322 suntikan harian baharu diberikan menjadikan jumlah kumulatif 245,950 orang.

Sebanyak 68 kereta diarahkan untuk berpatah balik di 113 sekatan jalan raya di seluruh Sabah dalam 24 jam lepas manakala 37 kompaun dikeluarkan dengan kegagalan memakai pelitup muka mendahului senarai dengan sejumlah 16 kesalahan.

Pemeriksaan juga dijalankan di laut di perairan pantai timur dan Kota Kinabalu/Labuan dengan masing-masing 105 dan 21 pemeriksaan.

Kadar pematuhan keseluruhan di Sabah ialah 96 peratus, sementara 307 pesakit Covid-19 dibenarkan pulang sementara 422 masih di hospital, 1,566 di bawah pemerhatian di pusat kuarantin risiko rendah dan 40 dikuarantin di pusat tahanan sementara/penjara.

Seramai 57 berada di Unit Rawatan Rapi dan 15 memerlukan alat bantuan pernafasan. – DailyExpress

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN