25 C
Kota Kinabalu
Selasa, April 22, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan pastikan kebajikan golongan warga emas terus dipelihara: James

SUMBANGAN….James (kanan) menerima sumbangan untuk Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut daripada Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sabah (APPS) disampaikan Dr Devadas.


KOTA KINABALU: Kerajaan, di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) akan memastikan kebajikan golongan warga emas di negeri ini akan terus terjamin, kata Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) Datuk James Ratib.


Menurut beliau, antara lain usaha kerajaan dalam memastikan hal tersebut dilaksanakan ialah dengan kewujudan rumah-rumah warga tua di negeri ini yang sedang dan akan beroperasi tidak lama lagi.


“Antara usaha Kerajaan di bawah JPKA yang kini dalam perlaksanaan adalah pembinaan Rumah Warga Tua Kendiri di daerah Telupid yang bernilai RM2.5 juta dan bakal siap penghujung tahun 2025.


“Rumah Warga Tua Kendiri ini dibina bagi memberi penjagaan dan perlindungan secara percuma kepada golongan warga emas yang masih sihat, tetapi keseorangan, tiada tempat tinggal, dan masih mampu berusaha.


“Asrama ini kelak akan menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat, memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mereka terjaga,” kata beliau.


Katanya, bagi Rumah Warga Tua Kendiri di daerah Telupid, bangunan pentadbiran akan berfungsi sebagai pusat pengurusan yang mengatur segala keperluan dan aktiviti penghuni.


Selain itu, James memberitahu bahawa sebuah kompleks pusat jagaan baharu untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini iaitu Pusat Bersepadu Warga TUA dan OKU, yang terletak di Inanam, bakal siap tidak lama lagi.


Projek yang menelan kos sebanyak RM25 juta kini 65 peratus siap.


Bagaimanapun, ujar beliau, pusat ini berbeza dengan Rumah Warga Tua Kendiri di Telupid, di mana perkhidmatan dan kemudahan di Pusat Bersepadu ini adalah berbayar.


“Pelanggan dikehendaki membayar dan kumpulan sasaran adalah mereka yang sanggup membayar untuk keselesaan dan keselamatan pada harga yang berpatutan. Pusat Bersepadu ini juga menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan OKU.


“Melalui ini, warga emas akan dapat mewujudkan hubungan, perhubungan dan interaksi positif yang boleh berkembang menjadi persahabatan yang akan membantu mereka daripada berasa kesunyian,” katanya.


Justeru, beliau berharap kemudahan yang disediakan kerajaan ini dapat memberi peluang kepada warga emas untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna.


James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam dan Tarian Amal Rumah Warga Tua Sri Pirtchard Kinarut yang diadakan di sini pada malam Ahad.


Dalam majlis itu, beliau mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Ahli Lembaga Pelawat Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut atas menjemputnya dalam program itu.


“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Datin Rachel Rayah, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bersama barisan ahli jawatankuasanya yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan acara ini.


“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jais Asri, Pengarah JPKA, atas komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan warga emas,” katanya.


Tambah James lagi, program tersebut bukan sahaja mencerminkan komitmen kolektif kami untuk menjaga warga emas tetapi juga memupuk belas kasihan dan kebaikan dalam masyarakat.


“Saya berbangga dengan inisiatif ini, terutamanya memandangkan Rumah Warga Tua Sri Pritchard berada di bawah bidang kuasa JPKA Sabah.


“Usaha malam ini menunjukkan bagaimana agensi awam dan masyarakat boleh bekerjasama untuk memastikan kesejahteraan mereka yang memerlukan perhatian kita.


“Sesungguhnya acara pada malam ini juga berfungsi sebagai peringatan bahawa orang tua bukan sahaja berhak mendapat penjagaan tetapi juga penghormatan dan kasih sayang tanpa syarat,” katanya.


Beliau berharap dana dan sokongan yang dikumpul program berkenaan akan dimanfaatkan dengan baik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kesejahteraan penduduk.


“Kerajaan Negeri di bawah Kementerian saya, sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan serta kebajikan golongan warga tua (emas) di negeri ini selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ),” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN