27 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Madius terus perjuangkan Klinik Kesihatan Jenis 2 Tuaran, KKM luluskan RM50,000 untuk kerja-kerja awalan

Madius

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan terus memperjuangkan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 Tuaran yang dijadualkan dibina di kawasan Laya-laya.

Menurutnya, kesegeraan pembinaan klinik itu penting dan cukup mendesak memandangkan Bahagian Pesakit Luar dan Bahagian Kecemasan Hospital Pakar Minor Tuaran kini sentiasa sesak dengan kehadiran ramai pesakit yang ingin mendapatkan rawatan.

“Keadaan ini menyebabkan ada pesakit yang tidak sanggup menunggu kerana terlalu lama menunggu giliran sehinggakan ada antara mereka yang balik tanpa mendapat rawatan ataupun bergegas ke hospital swasta.

“Ini adalah disebabkan Hospital Pakar Minor Tuaran ini juga merupakan Hospital Rujukan atau Refferal Hospital untuk pesakit daripada Hospital Ranau, Hospital Kota Belud dan Hospital Kota Marudu,” katanya.

Madius berkata demikian dalam satu muat naik di laman facebook rasminya berhubung status Klinik Kesihatan Jenis 2 Tuaran yang tersenarai dalam Soalan Lisan pada Persidangan Dewan Rakyat
di sini, pada Isnin.

Dalam soalan tersebut, Madius meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilakah Kompleks Kesihatan di Laya-Laya, Tuaran yang melibatkan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 dan juga Pejabat Kesihatan Tuaran selesai dibina dan berapa peruntukan yang telah disediakan untuk tujuan pembinaan klinik berkenaan.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, pihak KKM dalam jawapan bertulis memaklumkan sebanyak RM50,000.00 telah diluluskan bagi tahun 2025 untuk melaksanakan kerja-kerja awalan bagi pelaksanaan projek.

“Menurut KKM, Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) dengan Kuarters dan Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran, Sabah sebagai projek baharu di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5, RMK 12) pada tahun 2025.

“Skop projek yang dimohon merangkumi pembinaan sebuah Klinik Kesihatan Jenis 2, Blok Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran, 8 unit Kuarters Kelas D, 40 unit Kuarters Kelas F, perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan serta perkakasan dan sistem ICT,” ujar Madius.

Wakil rakyat yang berasal dari Kampung Lokos Kiulu itu berkata, klinik kesihatan dengan gred Jenis 2 itu adalah sebuah klinik yang lebih besar daripada Klinik Kesihatan Luyang.

“Saya secara konsisten akan meneruskan perjuangan untuk memastikan pembinaan Klinik Kesihatan ini dapat dipercepatkan demi manfaat penduduk setempat secara keseluruhannya,” tambah Madius lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN