ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Cari Keseimbangan Antara Alam Sekitar dan Pertumbuhan Ekonomi — Hajiji

Hajiji (dua dari kiri) menyaksikan majlis penyampaian cenderamata yang disampaikan oleh Majid (dua dari kanan) kepada Tun Musa sambil disaksikan juga oleh Safar (kiri) dan Michael (kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memastikan usaha memelihara alam sekitar dilaksanakan seiring dengan agenda pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Sabah.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah komited memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan memperkasakan perlindungan alam sekitar, namun pada masa sama masih memerlukan pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan jaminan bekalan tenaga bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.


“Inilah keseimbangan yang sedang diusahakan Sabah dalam membina masa depan negeri,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit (WGSS) bertemakan Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific di sini, pada Isnin.


Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.


Jelas Hajiji, isu tenaga bukan hanya berkaitan alam sekitar semata-mata, sebaliknya turut melibatkan aspek ekonomi dan jaminan bekalan tenaga untuk masa depan Sabah.


Sehubungan itu katanya, Sabah memerlukan campuran sumber tenaga yang seimbang dan praktikal termasuk memperluaskan penggunaan tenaga solar, hidro, biojisim dan biogas sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan tenaga negeri.


Beliau berkata, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 turut memberi penekanan kepada penyediaan bekalan tenaga yang stabil, mudah diakses, mampu dibiayai dan mampan.


Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah juga wajar menerima pulangan yang setimpal atas peranan besar negeri ini dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan biodiversiti negara. 


Katanya, usaha memelihara hutan, ekosistem dan biodiversiti bukan sahaja memberi manfaat kepada Sabah, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan negara serta masyarakat global.


“Oleh itu, agenda kemampanan perlu turut mengambil kira aspek keadilan termasuk dari segi pengiktirafan, pelaburan dan manfaat ekonomi kepada negeri yang memainkan peranan besar dalam pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata Sabah mampu membuktikan bahawa pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan secara seimbang tanpa perlu mengorbankan salah satu daripadanya.


Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Pengerusi KSI Strategic Institute for Asia Pacific merangkap Pengerusi Eksekutif Jaycorp Berhad, Tan Sri Majid Khan serta Pengerusi Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (ICCM), Tan Sri Michael Yeoh./Penerangan– 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN