ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Terima RM3.188 Bilion Laksana 204 Projek Pertanian

Datuk Jonathan Yasin

RANAU: Negeri Sabah telah diperuntukkan sejumlah RM3.188 bilion bagi pelaksanaan 204 projek pertanian dan keterjaminan makanan daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10 tahun 2011 hingga 2015) sehingga RMKe-13 (tahun 2026 hingga 2030).


Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, langkah tersebut menunjukkan komitmen kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam meningkatkan mutu pertanian dan keterjaminan makanan khususnya di Sabah.


Menurutnya, Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik secara bersepadu sepanjang tempoh Rancangan Malaysia.


Pelaksanaan inisiatif ini katanya, adalah berlandaskan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPNS 3) dan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (HTSMJ) dengan penekanan kepada sekuriti makanan dan pendapatan, produktiviti dan daya saing serta kemampanan.


“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah seperti pembangunan tanaman makanan secara lebih berfokus kepada pendekatan industri dan rantaian nilai dengan tumpuan kepada tanaman premium yang bernilai tinggi seperti durian Musang King, avokado, nanas, nangka J33, kelapa, kopi, halia, keladi Cina, jagung manis dan sayur-sayuran.


“Selain itu, terdapat juga inisiatif lain seperti pembangunan tanaman padi melalui Pelaksanaan Projek Khas Pemulihan Tanah Sawah Padi Terbiar serta Projek Penyelidikan dan Inovasi Kesesuaian Varieti Padi untuk mengenalpasti variety padi baharu berhasil tinggi untuk diperkenalkan kepada petani di Sabah.


“Di samping itu, inisiatif yang dijalankan juga termasuk pewujudan sebanyak 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai kawasan pengeluaran makanan yang kekal dan berterusan dibawah penyelarasan Kerajaan Persekutuan dan Negeri,” katanya.


Jonathan mengongsikan maklumat tersebut yang diperolehi melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 yang diadakan baru-baru ini.


Dalam mesyuarat tersebut, beliau meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah-langkah yang telah diambil Kementerian untuk meningkatkan mutu pertanian dan keterjaminan makanan di Wilayah Sabah dalam tempoh 10 tahun yang lalu dan 10 tahun ke hadapan.


Sementara itu, Kementerian tersebut juga melaksanakan pemerkasaan perikanan laut dalam di mana pada tahun 2021, Sabah telah diberikan kuasa (empowerment) bagi pelesenan perikanan laut dalam meliputi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang membolehkan penerokaan kawasan melebihi 30 batu nautika dari pantai secara lebih terancang.


Pengukuhan akuakultur melalui pelbagai projek ternakan marin dan air tawar melibatkan ikan, udang, tiram, ketam, timun laut dan udang kara juga telah dilaksanakan. Penekanan turut diberikan kepada aspek biosekuriti dan pensijilan MyGAP bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan.


Inisiatif lain yang turut diusahakan ialah pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan bagi memperkayakan sumber perikanan perairan umum dan pemulihan populasi ternakan serta pengukuhan infrastruktur asas veterinary.


Tambah beliau, pemodenan sektor penternakan melalui penggunaan teknologi penggunaan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) bagi daya jejak (traceability) dan perluasan sistem reban tertutup (automasi); dan pemodenan Pusat Bioteknologi menjadi makmal biogenetic canggih yang dapat menghasilkan baka unggul tempatan melalui penggunaan teknologi Marker-Assisted Selection (MAS) dan ujian Asid deoksiribonukleik (Deoxyribonucleic acid-DNA) turut dibangunkan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN