Tun Juhar (kanan) ketika berbincang dengan Edward dalam kunjungan tersebut.
KOTA KINABALU: Sabah Society bakal melaksanakan projek untuk mengetengahkan sejarah penubuhan sekolah-sekolah di negeri ini.
Pengerusinya, Edward Liew berkata menerusi projek tersebut masyarakat khususnya generasi muda dapat didedahkan dengan maklumat, kejayaan serta peranan sekolah-sekolah sebagai institusi yang melahirkan modal insan yang berkualiti.
“Sekarang ini, kami sedang mengumpulkan dana jadi, kami mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan beberapa badan korporat lain dan berharap projek ini dapat dijalankan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Menurut Edward, selain melaporkan aktiviti serta perancangan, kunjungan tersebut juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta restu daripada Tun Juhar selaku penaung persatuan terbabit.”Pada tahun ini, kami akan melaksanakan projek utama kami iaitu sejarah sekolah-sekolah di Sabah.
“Kami mahu semua pelajar mengetahui sejarah sekolah bagaimana sekolah itu bermula, sejak bila ia ditubuhkan dan siapa pemimpin terkenal dari sekolah mereka. “Seperti yang Tun beritahu, Tun bersekolah di Tambisan tetapi berapa ramai orang yang tahu bahawa Tun sebenarnya bersekolah di sebuah sekolah yang terpencil di Tambisan.
“Tun juga orang yang sederhana, merendah diri sejak dari awalnya dan inilah perkara yang kami mahu generasi muda tahu dan ini sangat penting,” tegas beliau.
Sabah Society merupakan pertubuhan yang diasaskan pada tahun 1960 dan mempunyai lebih 1,500 ahli setakat hari ini.- PENERANGAN