ADVERTISEMENTspot_img

SABAH SASAR KAPASITI TENAGA BOLEH BAHARU 37 PERATUS MENJELANG 2030: Hajiji

Hajiji– Foto oleh Pegawai JKM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) negeri meningkat kepada kira-kira 1,200 megawatt (MW), atau 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan elektrik negeri menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata sasaran itu merupakan sebahagian daripada hala tuju yang digariskan di bawah Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040), yang menetapkan matlamat mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2035.

Beliau berkata bagi tempoh sehingga 2030, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti TBB secara berperingkat melalui penambahan sumber solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim serta teknologi Sistem Penyimpanan Tenaga (Energy Storage System) bagi memastikan kestabilan sistem grid dan mengurangkan isu gangguan bekalan akibat sifat penjanaan tenaga boleh baharu yang tidak konsisten.

“Pada masa ini, kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah adalah sekitar 307MW, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (GRS-Sook) mengenai hala tuju kerajaan negeri dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 serta projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Penggal Kedua, hari ini.

Hajiji berkata antara projek strategik yang sedang dilaksanakan ialah Projek Solar Berskala Besar (LSS) berkapasiti keseluruhan 450MW, melibatkan 200MW yang kini di peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada penghujung 2026 hingga awal 2027, manakala tambahan 250MW sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028.

Selain itu, katanya, Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) berkapasiti 200MW/400 megawatt jam kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028.

Beliau berkata projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100MW pula dijangka siap pada 2029, manakala Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW dijangka siap menjelang 2030.

Hajiji berkata pelaksanaan projek-projek itu secara berfasa diyakini mampu meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah, sekali gus meletakkan negeri itu di landasan untuk mencapai sasaran 50 peratus campuran kapasiti TBB menjelang 2035.

“Kerajaan negeri komited memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN