ADVERTISEMENTspot_img

RUSDIN SOKONG RUU PERBEKALAN TAMBAHAN 2026, MOHON TUMPUAN KEPADA INFRASTRUKTUR DAN KEPERLUAN ASAS PEDALAMAN

Rusdin Riman

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 yang membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.6126 bilion, sambil menyifatkannya sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya di kawasan luar bandar.

Ketika membahaskan RUU itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata peruntukan tambahan berkenaan bukan sekadar pelarasan fiskal, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek infrastruktur, program pembasmian kemiskinan dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkesan.

Menurutnya, jumlah peruntukan tambahan itu mewakili kira-kira 25 peratus daripada peruntukan asal sebanyak RM6.401 bilion, sekali gus menjadikan keseluruhan perbelanjaan negeri bagi tahun 2026 meningkat kepada RM8.013 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah kewangan negeri.

Beliau berkata peningkatan peruntukan tambahan daripada RM1.004 bilion pada 2024, kepada RM1.186 bilion pada 2025 dan RM1.612 bilion pada tahun ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan Sabah.

Rusdin berkata sehingga Jun 2026, seramai 958 Ketua Isi Rumah (KIR) di DUN Paginatan masih berada dalam kategori miskin, manakala dua lagi dalam kategori miskin tegar, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan program peningkatan taraf hidup.

Beliau turut menggariskan lima keutamaan utama bagi kawasan Paginatan, iaitu menaik taraf jaringan jalan raya, pembinaan dan pembaikan jambatan, isu pampasan Projek Lebuhraya Pan Borneo, pengukuran tanah adat serta penyediaan utiliti asas termasuk bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.

Katanya, beberapa jalan utama yang menghubungkan kampung-kampung pedalaman seperti Jalan Kampung Gaur–Bayag–Togoyog, Jalan Kampung Mininsalu Lama–Longut Lama dan Jalan Kampung Widu–Tiang Lama memerlukan penyelenggaraan segera kerana sering terputus akibat tanah runtuh dan banjir.

Beliau turut mendesak kerajaan mempercepat pembinaan semula Jambatan Sungai Molout yang musnah akibat banjir pada Disember tahun lalu, selain memberi perhatian kepada pembinaan Jambatan Gantung Sungai Labuk di Kampung Miruru dan Jambatan Sungai Kagibangan di Kampung Bitoon demi keselamatan penduduk.

Menyentuh Projek Lebuhraya Pan Borneo, Rusdin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri atas pelaksanaan projek itu serta pemberian pampasan ex gratia kepada penduduk yang terjejas.

Bagaimanapun, beliau memohon Jabatan Tanah dan Ukur menilai semula kadar pampasan bagi pemilik tanah bergeran yang didakwa jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

Dalam masa sama, beliau menggesa Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) memberi keutamaan kepada DUN Paginatan bagi menyelesaikan permohonan geran tanah yang tertunggak sejak puluhan tahun lalu.

Rusdin turut berharap peruntukan tambahan sebanyak RM349.5 juta kepada Jabatan Air Negeri Sabah, menjadikan keseluruhan peruntukannya RM1.4 bilion bagi tahun ini, dapat dimanfaatkan untuk menangani masalah bekalan air yang masih berlarutan di kawasan luar bandar.

Beliau juga membangkitkan isu bekalan elektrik yang masih belum dinikmati beberapa kampung di Paginatan, selain kemudahan tiang dan kabel elektrik yang telah dibina tetapi masih belum disambungkan kepada kediaman penduduk.

Selain itu, beliau meminta kerajaan memperluaskan liputan telekomunikasi di kawasan pedalaman seperti Kampung Longut Lama, Gaur, Bayag dan Togoyog menerusi pembinaan menara pemancar baharu bagi meningkatkan capaian internet.

Mengulas peruntukan RM700 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan di bawah caruman Kumpulan Wang Berkanun, Rusdin berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh kapasiti pembangunan Sabah serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata setiap peruntukan yang diluluskan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan projek secara cekap dan telus supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.

Rusdin sekali lagi menegaskan sokongan penuh terhadap RUU Perbekalan Tambahan 2026 dan berharap pelaksanaan peruntukan itu dapat mempercepat pembangunan infrastruktur serta meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan pedalaman Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN