Datuk Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sedang memantau rapat isu pegawai perubatan yang dilaporkan gagal melapor diri bagi penempatan di negeri ini, selain terus menggesa Kerajaan Persekutuan memperkukuh insentif bagi menarik dan mengekalkan tenaga doktor.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata walaupun urusan pelantikan dan penempatan pegawai perubatan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri sentiasa membangkitkan isu kekurangan doktor serta keperluan meningkatkan pengambilan dan pengekalan tenaga perubatan di Sabah.
Beliau berkata antara perkara yang telah dibangkitkan kepada Menteri Kesihatan ialah Bayaran Insentif Wilayah (BIW) serta beberapa cadangan lain menerusi perbincangan dan mesyuarat jawatankuasa berkaitan.
“Perkara ini sedang disusuli melalui perbincangan berterusan dan kita akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan bagi melihat bagaimana cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis lepas.
Julita, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, turut menyokong gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah supaya kadar BIW berasaskan peratusan sebelum ini dikembalikan, selain memperkukuh insentif kepada doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak serta menambah baik bantuan perpindahan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan menunggu keputusan penuh penempatan pegawai perubatan terbaharu sebelum membuat penilaian menyeluruh terhadap situasi sebenar, termasuk kesan terhadap keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah,” katanya.
Usaha memperkukuh insentif dan kemudahan kepada pegawai perubatan dilihat penting bagi memastikan Sabah kekal menjadi destinasi penempatan yang menarik, sekali gus membantu menangani kekurangan tenaga perubatan dan memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.



