ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Naib Juara Kejohanan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia

Skuad PEBOKS bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah di mana mereka muncul naib juara Kejohanan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia 2026 di Johor pada Sabtu.

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

KOTA KINABALU: Sabah menerusi pasukan Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Sabah (PEBOKS) muncul naib juara Kejohanan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia 2026 di Johor.

Sabah terlepas gelaran juara apabila tumpas 1-2 kepada pasukan tuan rumah Johor pada perlawanan akhir sengit yang berlangsung di Daiman Eleven Football Park, Johor Bahru pada Sabtu (26 September).

“Kami telah cuba yang terbaik…ia adalah perlawanan sengit dan mencabar terutama dengan pasukan tuan rumah Johor dibarisi ramai pemain Malaysia.

“Keseluruhannya, pasukan memberi persembahan baik dan mencipta banyak peluang  di hadapan gol tetapi dikecewakan oleh kegagalan menyudahkannya,” kata ketua jurulatih PEBOKS, Mohd Asyraaf Fong Abdullah ketika dihubungi.

Ia juga kekalahan pertama Sabah  pada kejohanan itu di mana pada saingan peringkat liga mereka mereka menang 4-0 ke atas Pahang dan Perak serta seri 1-1 dengan Johor.

Apapun, gelaran naib juara Sabah turut diceriakan dengan kejayaan pemainnya, Mohd Shahniezam Hamsa  meraih gelaran Penjaring Terbanyak Kejohanan dengan enam gol.

“Tahniah kepada Johor. Tahniah juga kepada semua anggota pasukan PEBOKS…naib juara juga satu kejayaan yang membanggakan,” kata Asyraaf.

Pemain PEBOKS, Mohd Shahniezam (dua dari kiri) raih gelaran Penjaring Terbanyak Kejohanan dengan enam gol.

Sebagai rekod, PEBOKS ditubuhkan pada 2022 di bawah bimbingan Asyraaf yang juga bekas jurulatih Sabah untuk memperkasakan atlet golongan insan berkebutuhan khas di Sabah.

Bermula dengan tiga empat pemain, PEBOKS kemudian berjaya membentuk pasukan dan mewakili Sabah ke kejohanan kebangsaan dan menduduki tepat keempat pada 2023 di Perak.

PEBOKS kemudian membuat kejutan muncul juara pada 2024 tetapi jatuh ke tangga ketiga tahun lalu sebelum kembali naik sebagai naib juara tahun ini.

Asyraaf berkata, matlamat utama PEBOKS bukan hanya untuk pembangunan bola sepak tetapi juga untuk membina keyakinan diri, menyediakan pendedahan peringkat tinggi dan membuka peluang karier sukan bagi komuniti orang kudung di Sabah.

Setakat ini, PEBOKS berada di landasan yang baik apabila sudah melahirkan beberapa pemain kebangsaan termasuklah Louis Simin, Mohd Shahniezam, Ridwan Yah dan Fatnee Sardun.

Louis, Ridwan dan Shahniezam antara yang memperkuatkan pasukan PEBOKS pada kejohanan tahun ini manakala Fatnee yang juga penjaga gol utama skuad negara tidak dapat beraksi kerana komitmen kerja.

“Kami akan terus berusaha untuk terus memberi cabaran pada tahun hadapan…kami juga juga akan terus mencari bakat baharu di seluruh pelosok Sabah,” kata Asyraaf.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN