Kemenangan satu dua buat Sabah menerusi Amirah (tengah) dan Syarifah (kiri) dalam acara Gred Wanita tenpin boling Kejohanan Kebangsaan Ke-48 Tertutup Malaysia 2026 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Sabah kuasai acara Gred Wanita tenpin boling Kejohanan Kebangsaan Ke-48 Tertutup Malaysia 2026 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Acara itu menyaksikan gelaran juara dan naib juara milik Sabah menerusi Nurul Amirah Amirul dan Syarifah Nadia Ali Hassan selepas kedua-duanya mempamerkan persembahan konisten semua blok permainan.
Ia adalah persaingan sengit antara dua pemain Sabah itu sehingga ke blok permainan terakhir sebelum Amirah keluar sebagai juara dengan catatan 1660 jatuhan pin, hanya empat pin mengatasi Syarifah di kedudukan kedua.
Sabah malahan hampir kuasai podium Gred Wanita apabila seorang lagi pemainnya, Chloe Ho Rui Zhi turut memberi saingan tetapi barakhir di kedudukan keempat.
Ketiga-tiga pemain itu adalah antara tujuh pemain Sabah yang berjaya ke Pusingan Akhir Masters..
Chloe juga antara pesaing acara Perempuan Terbuka dan Gred Perempuan.
Dalam acara Gred Perempuan, Chloe menduduki tempat ke-16 manakala acara Perempuan Terbuka, dia di kedudukan ke-13.
Dua lagi pemain Sabah, Nur Aleeya Syakirah Awang Ali dan Natalie Chong Yi Wen turut mara ke Pusingan Akhir Masters acara Perempuan Terbuka.
Nur Aleeya di kedudukan lebih baik di tempat keempat manakala Natalie di tangga kelapan.
Mohd Noer Zul-Qhimie Said pula menduduki tempat ke-17 acara Gred Lelaki manakala Brendon Liew Tze Vui di kedudukan ke-13 acara Gred Remaja Lelaki.
“Kejohanan ini memberi pengalaman dan pendedahan baik sebagai bekalan untuk terus memajukan diri kepada pemain-pemain kita.
“Saya percaya semua telah memberikan yang terbaik..syabas kepada yang menang, tahniah juga kepada yang layak ke Pusingan Akhir Masters,” kata presiden Persatuan Tenpin Bowling Negeri Sabah (PTBNS), Rozzainy Sham Talip.



