31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sabah catat lebih 130,000 pelarian Filipina

KUALA LUMPUR: Sejumlah 136,055 orang pelarian Filipina dicatatkan masih berada di Sabah sehingga kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah tersebut seramai 51,645 pelarian memegang dokumen IMM13, manakala 47,518 orang merupakan pemegang Sijil Banci Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah/Labuan.

“Seramai 36,892 orang lagi pula merupakan pemegang dokumen Resit Pengenalan Sementara Jabatan Ketua Menteri.

“Jumlah itu dikenal pasti melalui data semak silang antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Pejabat Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Zaliha berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap persoalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.


Dalam soalannya, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah bilangan serta apakah masa depan kehadiran pelarian Filipina yang sudah berada di Sabah sejak awal 70-an.

Menurut Zaliha, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan memandang serius terhadap status dan masa hadapan golongan ini.

“la diterjemahkan melalui forum Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah yang terbahagi kepada dua iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal.

“Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri, manakala di peringkat Jawatankuasa Teknikal pula dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Menteri Dalam Negeri,” jelasnya.

Ujar beliau, jawatankuasa itu bertindak sebagai platform untuk meneliti dan merancang hala tuju pelarian Filipina di negeri Sabah.

“Jawatankuasa ini telah mengesyorkan agar pendataan semula dibuat terhadap mereka merangkumi pengambilan biometrik dan gambar untuk simpanan profil mereka yang terkini dan teratur.

“Ini membolehkan kedudukan dan status mereka juga dikesan semula. Jawatankuasa ini juga memutuskan agar satu dokumen pengenalan diri tunggal diaplikasikan bagi memudahkan pengurusan pelarian Filipina di Sabah pada masa hadapan,” tambah Zaliha.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN