27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sabah berpotensi jadi hub pengeluar produk berasaskan kelapa

James (kanan) ketika mengadakan lawatan di Stesen Pertanian Ulu Dusun pada Jumaat.

SANDAKAN: Sabah berpotensi menjadi hub pengeluar produk berasaskan kelapa jika dibangunkan secara sistematik dan memenuhi kualiti yang diperakui oleh Jabatan Pertanian.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan I Negeri Sabah, Datuk James Ratib menjelaskan, petani di negeri Sabah digalakkan untuk mengusahakan tanaman kelapa secara komersial bagi memenuhi keperluan produk berasaskan tanaman itu yang semakin mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dalam pasaran negara bahkan luar negara.

“Produk berasaskan kelapa khasnya santan dan minyak kelapa amat tinggi permintaan diperingkat pasaran dalam dan luar negara, namun demikian, pengeluaran kelapa di negeri Sabah masih belum cukup untuk memenuhi permintaan syarikat tertentu”jelas James ketika ditemui dalam lawatan di Stesen Pertanian Ulu Dusun pada Jumaat.

James turut menjelaskan, Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah telahpun mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat tempatan negara yang berpusat di negeri Selangor iaitu Linaco Holding Berhad agar memperluaskan perniagaan ke negeri Sabah untuk meningkatkan pengeluaran produk kelapa termasuk membantu para peladang kelapa memasarkan hasil kelapa dengan lebih teratur.

UNTUK KENANGAN..James (barisan kedua belakang kanan) ketika mengadakan lawatan di Stesen Pertanian Ulu Dusun pada Jumaat.

Katanya, syarikat berkenaan merupakan sebuah syarikat pengeluar santan kelapa terbesar negara yang terletak ditangga kesepuluh terbaik dunia. Permintaan harian bekalan kelapa yang diperlukan Linaco Holding Berhad adalah sekitar 500,000 biji sehari bagi penghasilan santan yang berkualiti tinggi.

“Hasil perbincangan antara Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah dengan Pengurusan syarikat Linaco Holding Berhad, maka mereka bersetuju untuk membuka satu pusat penggumpulan kelapa di negeri Sabah dalam masa terdekat dalam tahun ini. Lokasinya adalah disebuah kawasan lapang berdekatan dengan persimpangan Kota Marudu dan Kudat.

“Ini memberikan peluang kepada para pengusaha kelapa di negeri Sabah meraih pendapatan lumayan sekaligus meningkatkan hub pengeluaran produk berasaskan kelapa daripada negeri Sabah” tegas James.

Katanya lagi, dua jenis kelapa yang sesuai untuk produk santan berkualiti diperlukan oleh Syarikat Linaco Holding Berhad iaitu kelapa jenis ‘Taccunan’ dan ‘Mataq’ yang mana kedua-dua baka kelapa ini amat sesuai dengan iklim tanaman di negeri Sabah.

“Saya difahamkan syarikat tersebut menawarkan harga sekitar RM 80 sen hingga RM 1.20 setiap satu biji kelapa jika dijual secara langsung ke pusat penggumpulan mereka. Ia suatu potensi yang baik untuk menggalakkan para peladang dan petani kelapa mencuba baka tersebut untuk penanaman secara komersial”, jelasnya.

Sementara itu, dalam sesi taklimat yang disampaikan oleh Au Wai Wong,Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan Stesen Pertanian Ulu Dusun, beliau menyatakan pihaknya turut membangunkan penyelidikan mengenai Pengumpulan Janaplasma Kelapa untuk menghasilkan benih kelapa yang berkualiti sebelum diedarkan kepada para petani dan peladang kelapa negeri ini.

Jelasnya, dua kategori kelapa ditanam para petani di Sabah ketika ini iaitu kelapa rendah dan kelapa tinggi. Selain itu, kelapa pandan turut berpotensi menjadi sumber pendapatan lumayan pengusaha jika tanam secara konsisten.

“Stesen Pertanian Ulu Dusun sentiasa bersedia untuk memberikan bimbingan kepada para petani atau peladang kelapa di negeri ini untuk menghasilkan produk tanaman yang berkualiti. Kita juga sentiasa membangunkan penyelidikan benih kelapa untuk penanaman secara komersial” ujar beliau.

Dalam pada itu, James turut memuji usaha Stesen Pertanian Ulu Dusun kerana sentiasa komited dalam usaha menjalankan kajian pelbagai jenis tanaman berkualiti tinggi seperti buah-buahan tempatan dan kelapa sawit.Jelasnya, Kementerian akan mempastikan negeri Sabah mampu mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti tinggi bagi memenuhi bekalan makanan dunia termasuk menggalakan sumber pendapatan negeri dan para pengusaha pertanian.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Jinius Jipanin, Timbalan Pengarah Penyelidikan Jabatan Pertanian Negeri Sabah dan Jalil Atang, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri Sugut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN