Coach Lady @ Vie2 , Jurulatih Suzri, Jurulatih Keiru
RANAU: Satu kejohanan bola sepak dinamakan RYFC Grassroot Football Carnival 2025 akan diadakan di sini dalam usaha memupuk bakat muda dalam acara itu di Ranau.
RYFC Grassroot Football Carnival 2025 akan berlangsung pada 1 dan 2 Februari 2025 di padang SJKC Paiwen, Ranau, Sabah.
Karnival ini terbuka kepada pemain di bawah umur 12 tahun dengan tiga kategori iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 10 Tahun dan Bawah 8 Tahun.
Pengurus Besar dan Setiausaha Kelab RYFC, Sylviana Viana Saiki @ Vie, lebih dikenali sebagai Coach Lady dalam kalangan pemain dari Kelab RYFC berkata, acara ini sangat dinanti-nantikan terutama pemain muda di sini.
Menurutnya, kelab itu menyediakan platform seperti ini kerana menyedari pendedahan seperti ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mempamerkan bakat dalam sukan bola sepak.
Dengan bantuan dan sokongan ketua jurulatih Kelab RYFC, Coach Keiru Jumin, mereka telah merancang satu acara menarik dalam bola sepak bagi merealisasikan visi karnival ini.
Menurut Vie, tujuan utama penganjuran karnival ini adalah untuk mempromosikan bola sepak dalam kalangan anak muda, selain menjadi platform untuk mereka menunjukkan kemahiran dan potensi dalam sukan ini.
Selain itu, katanya, penganjuran majlis ini juga bertujuan untuk merapatkan tali silaturahim antara peminat bola sepak di daerah Ranau khususnya dan seluruh Sabah amnya.
Vie yang juga bertindak sebagai Pengerusi kejohanan menambah, ini adalah sebahagian daripada misi dan objektif Kelab RYFC untuk membangunkan bola sepak dari akar umbi dan membentuk asas yang kukuh bagi pembangunan sukan itu di daerah Ranau.
Setakat ini, katanya, sebanyak 12 pasukan daripada setiap kategori telah mengambil bahagian.
“Penyertaan yang diterima bukan sahaja dari Ranau, malah dari daerah lain seperti Sandakan, Kota Belud, Kota Marudu, Beaufort, Kota Kinabalu, dan Labuan.
“Walaupun kuota pasukan sudah penuh, pasukan dalam senarai menunggu akan diberi peluang sekiranya pasukan menarik diri,” katanya.
Menurut Vie, inisiatif menarik yang diambil oleh Kelab RYFC kali ini ialah setiap pemain muda, tanpa mengira kedudukan pasukan mereka di tangga, tetap akan menerima hadiah.
“Pelbagai anugerah khas juga akan disampaikan kepada jurulatih pasukan terbaik, penjaring terbaik dan penjaga gol terbaik. Ini sebagai usaha menggalakkan dan menghargai komitmen pemain muda dalam karnival tersebut.
“Dalam anjuran ini, penekanan diberikan kepada kepentingan pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah. Ini selaras dengan harapan kelab agar setiap ibu bapa dapat melihat anak mereka mencapai keseimbangan antara pendidikan dan sukan,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa sukan seperti ini bukan sahaja membentuk asas kejayaan masa depan kanak-kanak, tetapi juga menjadikan mereka individu yang seimbang dan berdaya saing secara sihat.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jurulatih Suzri dari Sepadu FT SK Pekan 2 Ranau, Sabah yang banyak membantu serta memberi nasihat serta idea dalam penganjuran karnival ini.
Menurutnya, sokongan daripada Jurulatih Suzri amat penting dalam memastikan semua aspek perancangan karnival berjalan lancar.
“Sepanjang karnival itu, Kod Sukan Selamat akan dilaksanakan bagi memastikan perlawanan dan persekitaran harmoni tanpa sebarang provokasi.
“Ini adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pemain, jurulatih, ketua pasukan, pengurus dan penonton.
“Karnival Akar Umbi RYFC bukan sahaja menjadi platform kepada pemain muda untuk bersaing dan mempamerkan bakat mereka, tetapi juga langkah positif ke arah peningkatan dan pembangunan bola sepak di kalangan generasi muda di Ranau serta di Sabah amnya,” katanya.
Vie berharap banyak pihak akan terus menyokong usaha murni kelab RYFC dalam pembangunan bola sepak di daerah Ranau.
Mereka yang ingin menyertai latihan dan menyertai Kelab RYFC boleh menghubungi 01125110248 (Coach Lady @ Vie) atau 016-8361863 (Coach Keiru).