26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

RYFC Anjur Klinik Asas Penjaga Gol

Austin (tengah belakang), dan lain-lain bersama para peserta dalam klinik tersebut


RANAU: Seramai 14 orang peserta muda dari sekitar daerah Ranau telah mengambil bahagian dalam Klinik Asas Penjaga Gol Muda yang berlangsung di Kompleks Sukan Ranau baru-baru ini.


Program pembangunan asas anjuran Kelab RYFC itu memberi fokus kepada teknik dan kefahaman peranan penjaga gol moden (dan juga taktik penjaga gol lama).


Program ini dikendalikan oleh bekas penjaga gol Sabah, Austin Orou, yang merupakan seorang jurulatih berpengalaman yang telah lama aktif dalam pembangunan penjaga gol, dan beliau dibantu oleh Voo Zhong Shan.


Menurut Austin, beliau amat bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh pihak RYFC untuk berkongsi ilmu dan pengalaman khususnya kepada para golongan anak-anak muda di sini.


“Saya sangat berterima kasih kepada Kelab RYFC kerana menjemput saya untuk menjadi penceramah dan instruktor bagi klinik ini, dan syukur kerana akhirnya hasrat kita mengadakan program ini tercapai.


“Sudah lama saya menanti peluang untuk dilibatkan dan dijemput dalam program penjaga gol seperti ini terutamanya di daerah Ranau – tidak kiralah daripada mana-mana kelab, persatuan mahupun individu,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Austin (kanan) menunjukkan cara yang betul menangkap bola kepada salah seorang peserta


Kehadiran peserta yang berminat tinggi serta komited sepanjang program telah memberi petunjuk jelas bahawa potensi anak-anak muda di Ranau sangat besar.


Walaupun beberapa peserta tidak dapat hadir atas masalah yang tidak dapat dielakkan, semangat peserta yang hadir membuktikan keberkesanan pendekatan program ini.


Pengurus Kelab RYFC, Coach Lady menyatakan bahawa klinik ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan akar umbi kelab, yang bukan sahaja memberi pendedahan kepada pemain, tetapi juga membuka ruang untuk mencungkil bakat dalam peranan khusus seperti penjaga gol.


Dalam pada itu, RYFC turut meluahkan rasa syukur dan gembira apabila kelab kini telah disahkan secara rasmi bernaung di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


Pengiktirafan ini memberi semangat baharu dan keyakinan tinggi kepada pihak pengurusan untuk terus mengorak langkah dalam dunia pembangunan bola sepak akar umbi.


Pihak kelab juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan program dan aktiviti kelab – termasuk ibu bapa, penyumbang, sukarelawan dan rakan strategik.


Tanpa sokongan berterusan ini, RYFC tidak mungkin dapat terus bergerak aktif demi kemajuan anak-anak muda Ranau dalam dunia bola sepak.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN