Penyerahan baju Klinik Bola Sepak RUN-NOW Youth Club daripada Pn. Mercia Maun kepada Vie dan Coach KV
RANAU: RUN-NOW Sports Club atau lebih dikenali sebagai RUN-NOW Youth Club, yang diasaskan pada bulan Julai lalu oleh Sylviana Viana Saiki juga dikenali sebagai Vie, telah ditubuhkan di daerah Ranau, Sabah dan kini berdaftar di bawah EROSA (Kementerian Belia dan Sukan).
Vie juga merupakan Setiausaha Agung bagi Kelab Rekreasi Artis Sabah, Ketua Biro Kebajikan Kelab Kupi-Kupi FM 96.3 dan Ahli Jawatankuasa di dalam Biro Pembangunan Persatuan Artis Tempatan Sabah dan salah seorang Pengarah Urusan MV Event & Entertainment.
Menurutnya, penubuhan kelab ini adalah untuk mencungkil dan memberi peluang kepada anak-anak muda di daerah Ranau terlibat dalam pembangunan sukan, bukan hanya untuk menjaga kesihatan dan mengekalkan gaya hidup sihat, tetapi juga untuk mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti sukan yang bermanfaat.
Walaupun Vie merupakan pengasas kelab, penggal pertama penubuhannya diketuai oleh Coach Keiru Jumin, yang juga menjawat jawatan sebagai Ketua Jurulatih.
Program pertama yang diadakan oleh kelab adalah Klinik Bola Sepak untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 12 tahun (Grassroot).
Pengalaman beliau sebagai seorang jurulatih bola sepak kategori Grassroot memang sangat diakui.
Sebelum ini beliau berkhidmat untuk pasukan bola sepak SK Tamu Darat, Kota Belud, di mana pencapaian beliau membawa anak didik hingga ke peringkat kebangsaan juga melahirkan beberapa pemain bertaraf kebangsaan di dalam sukan bola sepak.
Program Klinik Bola Sepakini mendapat sambutan yang baik daripada Encik Michael Pakang, Guru Besar SK St Benedict Ranau, yang berharap agar kelab ini mewujudkan satu pasukan bola sepak kanak-kanak di bawah SK St Benedict, Ranau.
Buat masa ini padang yang digunakan untuk Klinik Bola Sepak adalah padang sekolah SK St Benedict Ranau, di mana klinik ini diadakan pada setiap hujung minggu dan cuti sekolah.
Sambutan daripada ibu bapa di sekitar daerah Ranau juga sangat memberangsangkan.
Menurut Vie, Sasaran pendaftaran pertama sekitar 20 orang kanak-kanak sahaja di sekitar daerah Ranau, akan tetapi setakat ini seramai 45 orang kanak-kanak telah mendaftar di bawah program pertama kelab dan penyertaan makin bertambah dari semasa ke semasa.
Ini jelas menunjukkan sambutan yang baik daripada kalangan ibubapa terhadap program kelab.
Jurulatih yang dilantik, Coach KV berkata, beliau yakin daerah Ranau mampu melahirkan pemain bola sepak yang hebat jika semua pihak komited merancang dan melaksanakan agenda pembangunan bola sepak bermula daripada akar umbi termasuk di peringkat sekolah rendah.
Anak-anak seusia 7 hingga 12 tahun yang meminati sukan bola sepak diharap akan terus diberi sokongan oleh ibubapa penjaga, pihak sekolah, pemimpinpemimpin dan komuniti agar dapat menggilap bakat anak-anak agar dapat menjadi pelapis pada masa akan datang.
Beliau juga percaya terdapat beberapa “UBI MUDA”lain yang kurang mendapat perhatian, namun sebenarnya berbakat, seterusnya boleh mewakili sekolah masing-masing dan juga pasukan Sabah di masa akan datang.
“Siapa tahu nasib anak-anak muda ini boleh ke peringkat yang lebih tinggi lagi iaitu mewakili negara di dalam sukan bola sepak, katanya yang juga merupakan salah seorang Jurulatih bola sepak yang dilantik khas oleh pengurusan Kundasang FT,” katanya.
Klinik Bola Sepak ini akan dijalankan secara berterusan, dan Vie berharap RUN-NOW Youth Club akan berkembang maju dan aktif dalam bidang sukan, tidak hanya terhad kepada bola sepak tetapi juga meliputi sukan yang lain, baik outdoor mahupun indoor.
Dengan harapan tinggi untuk mewarnai dunia sukan di daerah Ranau, beliau bertekad untuk menyemai bakat-bakat muda dalam bidang sukan.
Sesiapa yang ingin mendaftarkan anakanak mereka untuk mengikuti Klinik Bola sepak boleh menghubungi beliau di talian 011- 25110248 ataupun Coach KV di talian 016-8361863,kerana pendaftaran sentiasa dibuka.
Vie juga berharap agar program-program sukan yang sedang dan akan diadakan oleh kelab ini mendapat sokongan yang baik daripada ibubapa penjaga, pihak-pihak yang berkenaan, pemimpin-pemimpin rakyat dan masyarakat di daerah Ranau, demi keberhasilan kelab dan kesejahteraan anak-anak muda.
Di akhir kata, Vie mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Mercia Maun pemilik 3V Art Printing kerana telah menaja separuh daripada kos penyiapan baju khusus untuk anak-anak yang mendaftar di bawah program kelab iaitu Klinik Bola Sepak.
Vie menyarankan sesiapa yang ingin menempah baju untuk hari keluarga, pasukan, kelab atau sebagainya boleh menghubungi Puan Mercia di talian 013-5556739 kerana harga memang sangat berpatutan dan hasil kerja memang diakui kemas dan berkualiti.