Ishak (tengah) melawat gerai para penjual di Rumah Tamu Kampung Merampong selepas merasmikan tapak tersebut
KENINGAU: Rumah Tamu Kampung Merampong yang dibina untuk menyediakan platform perniagaan rasmi bagi meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan di kawasan N.40 Bingkor telah dibuka dengan rasminya oleh Pembantu Menteri Kewangan, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub.
Bangunan Tamu Desa itu berfungsi sebagai pusat ekonomi rakyat yang menyediakan ruang perniagaan yang lebih teratur dan kondusif untuk usahawan mikro kampung, terutamanya peniaga produk pertanian, makanan dan keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor itu berkata, penyediaan kemudahan asas yang berorientasikan ekonomi akar umbi adalah langkah praktikal bagi memastikan pembangunan yang dirancang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat, bukan sekadar simbolik.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan berimpak seperti Tamu Desa bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan isi rumah, tetapi juga menggalakkan peredaran ekonomi tempatan dan mengurangkan kebergantungan penduduk luar bandar terhadap pusat bandar.
Dengan siap dan beroperasinya Rumah Tamu Kampung Merampong, kawasan ini dijangka muncul sebagai tumpuan baharu untuk aktiviti ekonomi dan sosial komuniti, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan yang seimbang dan inklusif di DUN Bingkor.
Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ishak bersama isterinya, Datin Tengku Aini Tengku Ibrahim, antara yang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Karnival Tahun Baru Cina 2026 yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Jalan Gaya, malam tadi.
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang, mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Karnival ini menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri, memeriahkan suasana bandar dan menyumbang kepada gerakan ekonomi malam melalui penyertaan penjaja dan peniaga tempatan.
Ishak berkata penganjuran karnival sebegini bukan sahaja memeriahkan sambutan, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Saya mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana menganjurkan acara yang teratur dan meriah. Saya juga menghargai kerjasama penjaja dan peniaga di Jalan Gaya dalam memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.
Menurutnya, program berasaskan komuniti dan budaya harus diteruskan kerana ia memberi manfaat langsung kepada penduduk dan meningkatkan ekonomi bandar.



