RANAU: Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kilimu, dekat Sekolah Rendah (SK) Kilimu, di sini awal pagi tadi.
Menurut kenyataan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.00 pagi.
“Seramai tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam dan menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak 5 kilometer dari BBP Ranau, anggota bomba mendapati sebuah rumah dua tingjat jenis separuh kekal berukuran 25’x60′ telah terbakar 75 peratus,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memadam menggunakan sumber air dari anak sungai berhampiran.
“Pasukan bomba dapat mengawal kebakaran 12 minit kemudian dan operasi ditamatkan selepas semua lokasi kejadian betul-betul selamat,” katanya.
Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
“Siasatan akan dijalankan oleh pasukan bomba untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami,” katanya.