ROZMAN (dua kiri) bersama Noor Halim (kiri sekali), Tan (dua kanan) dan Haji Chemat dalam pertemuan bersama media di sini, pada Selasa.
LABUAN: Ketua Parti Warisan Bahagian Labuan, Datuk Rozman Isli yakin pengundi muda yang layak mengundi pada PRU ke 15 ini, tidak akan mudah terpengaruh dengan taktik parti yang hanya pandai menabur janji ‘gula-gula’ demi meraih undi.
Rozman yang juga bakal calon parti Warisan Bahagian Labuan menilai pengundi muda mempunyai pemikiran yang lebih cerdik dan celik maklumat serta dapat menilai pemimpin yang berwibawa dan parti yang boleh membawa perubahan kepada pembangunan negara.
“Golongan muda masa kini tidak lagi seperti golongan muda yang lalu, kebanyakan anak muda masa kini mempunyai pendidikan yang tinggi dan mempunyai informasi yang boleh menilai pemimpin dan parti yang berwibawa yang benar benar ikhlas dalam memperjuangkan keperluan nasib rakyat dan negara.
“Saya yakin golongan muda masa kini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi dan bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab dan yakin mereka tidak akan mudah terpedaya dengan politik yang manabur janji gula gula setiap kali datangnya pilihanraya.” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam satu pertemuan di sini, pada Selasa.
Hadir sama dalam pertemuan, Naib Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan, Tan Soon Kiat, Timbalan Pengarah Noor Halim Datuk Zaini dan Ketua Penerangan parti Warisan Labuan, Haji Chemat Haji Mustapha.
Rozman yang juga Ahli Majlis Tetinggi parti Warisan, menjelaskan parti Warisan akan terus memainkan peranan menyakini golongan muda untuk bersama sama parti Warisan dalam memperjuangkan dan menyuarakan tuntutan rakyat secara menyeluruh.
Dalam perkembangan lain, parti Warisan Bahagian Labuan sudahpun dalam keadaan siapsiaga sepenuhnya untuk menghadapi PRU ke 15 yang dijadualkan pada 19 November depan.
“Jentera parti Warisan Bahagian Labuan sudah bersiap sedia pada tahap tertinggi untuk menghadapi PRU ke 15….jentera kita sudahpun bergerak sejak setahun yang lalu” katanya.