SIMBOLIK….Rozman (tiga kanan) bersama Iskandar (dua kanan) dan Imelda (dua kiri) memotong rebin tanda simbolik pelancaran Ulang tahun pertama pejabat USO.
LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli diberi penghormatan untuk melancarkan sambutan ulang tahun pertama pembukaan pejabat Syarikat Universal Serviced Offices yang menawarkan perkhidmatan penyediaan ruang pejabat serba lengkap di Tingkat 16, Kompleks Ujana Kewangan di sini, pada Isnin.
Hadir sama menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Urusan Labuan FSA, Datuk Iskandar Mohd Nuli, Ketua Bahagian Operasi dan Khidmat, Maybank International Cawangan Labuan, Hazairi Hassan dan wakil daripada Kompleks Ujana Kewangan, Norazili Timpai.
Ketibaan tetamu kehormat pada majlis itu telah disambut oleh Pengurus Kawasan USO, Imelda Thadeus serta beberapa pegawai kanan syarikat tersebut.
Terdahulu, Imelda yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif USO, Hesham Mansour berkata, ketika ini USO telah menawarkan sebanyak 161 ruang tempat duduk pejabat dan 59 unit pejabat yang dilengkapi dengan pelabagai kemudahan yang berkualiti tinggi selari dengan perkembangan semasa.

KENANGAN…Imelda bergambar kenangan bersama staff USO sempena ulang tahun pertama USO Labuan.
“Visi dan misi kami adalah untuk menangani kepentingan dan membantu syarikat yang memerlukan pejabat bertaraf dunia khususnya mereka yang berada dalam sektor kewangan dan minyak dan gas untuk berkembang,” katanya.
Imelda turut menjelaskan, pihaknya bersedia untuk menyediakan lebih banyak ruang pejabat secara berterusan disamping akan menambah kakitangan dalam sektor yang lebih besar khususnya pejabat yang mengendalikan industri hartanah dan pasaran perniagaan kewangan antarabangsa.
“Penyediaan ruang pejabat dan perkhidmatan pembesaran kakitangan USO yang berterusan akan membawa perubahan positif dalam sektor ruang pejabat industri hartanah apabila lebih banyak syarikat memasuki pasaran perniagaan dan kewangan antarabangsa” katanya.
Selain itu katanya, keputusan USO untuk terus mengembangkan syarikatnya adalah disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap penggunaan pejabat industri minyak dan gas serta kewangan antarabangsa yang terus berkembang di pulau ini.



