33 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Robert Tawik gesa Maxis, Celcom naik taraf capaian talian di Bingkor.

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri N.40 Bingkor Datuk Robert Tawik menggesa dua Syarikat Telekomunikasi iaitu Maxis dan Celcom mengambil langkah segera untuk menaiktaraf sistem capaian kedua-dua talian telefon berkenaan di sekitar kawasan DUN Bingkor.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri Sabah menjelaskan, beliau menerima ramai rungutan daripada penduduk DUN Bingkor berhubung sistem capaian telefon mudah alih Maxis dan Celcom yang agak lemah dan menyukarkan pengguna untuk membuat perhubungan telefon dengan mana-mana pihak termasuk juga melayari internet bagi mendapatkan informasi semasa.

Tegasnya, perkara ini juga telahpun dimaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan segera namun sehingga kini masih belum menampakkan sebarang usaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Penduduk di DUN ini kebanyakannya melanggan talian Maxis dan Celcom sebagai alat perhubungan mereka, jika sistem talian kedua-dua laluan telefon ini kurang memuaskan, ianya sudah tentu merugikan pelanggan’’, tegasnya.

Katanya lagi, dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, ramai dikalangan guru-guru sekolah menggunakan aplikasi pembelajaran dalam talian untuk anak-anak murid mereka melakukan pembelajaraan dalam talian di rumah. Justeru, kelancaran talian kedua-dua sistem telekomunikasi ini amat penting bagi membolehkan sistem pembelajaran dalam talian berjalan lancar.

‘’Saya sedar, perkara ini bukanlah suatu yang dapat terus dibina secara segera kerana memerlukan material dan kos yang agak besar, namun kita mengharapkan agar kedua-dua syarikat ini dapat mencari jalan penyelesaian untuk kepuasan pelanggan mereka serta ini juga akan memberikan pulangan baik kepada syarikat telekomunikasi berkenaan jika pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan mereka’’, jelas Robert.

DUN Bingkor mempunyai sekitar 96 buah perkampungan dengan anggaran penduduk sekitar 28,902 orang dan terletak lebih kurang 9 kilometer daripada Bandar Keningau. Kebanyakan penduduk disekitar kawasan ini menggunakan kemudahan telefon bimbit sebagai alat perhubungan dan talian Maxis dan Celcom antara pilihan utama para pelanggan.

-Tamat-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN