Robert…..sudah tiba masanya pusat Panggilan Kecemasan khas untuk Negeri Sabah.
KENINGAU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin menyambut baik saranan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengenai pengwujudan panggilan kecemasan khas untuk Negeri Sabah.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, sudah tiba masanya pusat Panggilan Kecemasan diwujudkan khas untuk Negeri Sabah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan bahawa Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional ( GRS-BN) sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat panggilan kecemasan Sabah.
Menurut Robert, beliau bersetuju dan menyokong saranan Dr Jeffrey dan sudah tiba masanya pusat panggilan kecemasan diwujudkan khas untuk negeri Sabah bagi membolehkan rakyat Sabah mendapat bantuan yang segara bila berlaku kecemasan.
“Ini lebih berkesan kerana operator tempatan lebih memahami dan mengetahui lokasi yang memerlukan bantuan” katanya.
Robert berharap pusat tersebut dapat diwujudkan dengan segara supaya tidak lagi berlaku yang tidak diingini seperti sebelum ini.
Baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Paglima Dr Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat panggilan kecemasan Sabah.
Katanya, ini berikutan beberapa siri kesilapan oleh MERS 999 berpusat yang mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda rakyat Sabah.
Beliau berkata, pusat panggilan tempatan akan lebih berkesan kerana ia akan dikendalikan oleh rakyat Sabah yang lebih mengenali keadaan dan lokasi geografi Sabah.
“Sistem MERS 999 sekarang telah terbukti tidak berkesan dan tidak cekap, dengan terlalu banyak soalan yang diajukan sebelum menghantar bantuan kepada mangsa.
“Dalam banyak kes, walaupun selepas begitu banyak soalan, responden kecemasan tempatan mengalami kesukaran untuk sampai di lokasi yang tepat kerana pengendali MERS 999 mempunyai sedikit pengetahuan tentang lokasi geografi Sabah.
“Adalah lebih baik untuk menghubungi terus operator tempatan yang akan mengetahui dengan segera lokasi kecemasan dan responden terdekat” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan GRS-BN akan berunding dengan petugas kecemasan seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan, serta syarikat telekomunikasi tempatan untuk menentukan cara terbaik untuk menubuhkan pusat panggilan kecemasan tempatan.
“Kerajaan berharap ini tidak akan mengambil masa terlalu lama. Kita tidak mahu kejadian yang menimpa mangsa kemalangan Lew Kok Fai di Kolombong baru-baru ini berulang.
“Kehidupan rakyat Sabah penting dan mesti diutamakan. Kerajaan GRS-BN yakin pusat panggilan kecemasan tempatan yang dicadangkan ini akan membantu memastikan rakyat kita mendapat bantuan segera pada bila-bila masa mereka memerlukannya,” katanya.



