30.6 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Robert realisasikan harapan rakyat DUN Bingkor

Begini keadaan jalan raya yang menghubung lebih sepuluh buah kampung ke Pekan Bingkor dan Keningau yang baru siap

KENINGAU: Keprihatinan seorang pemimpin bukan hanya diukur melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.

Inilah yang dibuktikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik, apabila projek pembinaan jalan raya dan jambatan simen menyeberangi Sungai Bayayo Tangkongan yang menghubungkan Kampung Tangkongan, Naidat, Minansut, Tandian, Lipasu, Kamansi, Berungis, Kuangoh, Kumawanan, Takulindang, Maasin, Kampung Baru dan kawasan sekitar akhirnya direalisasikan.

Kemudahan ini menjadi sinar baharu kepada lebih 2000 orang penduduk dan pengguna yang sekian lama menantikannya.

Jalan raya yang sebelum ini sukar dilalui, terutamanya oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru serta penduduk yang bergantung kepada pertanian dan kebun sebagai sumber pendapatan, kini lebih selesa dan selamat.

Dengan pembinaan jalan dan jambatan ini, ratusan hektar kebun kelapa sawit, getah dan buah-buahan milik penduduk kampung kini mempunyai akses lebih baik, sekali gus memudahkan pemasaran hasil pertanian mereka.

Posius

Tambahan pula, pembinaan jambatan simen yang hampir siap sepenuhnya dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya ketika musim hujan, apabila laluan sebelum ini sering terputus akibat arus sungai yang deras.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tangkongan, Posius Uddie Sandiong menyatakan rasa syukur atas usaha yang telah dilaksanakan oleh Datuk Robert bagi memudahkan kehidupan penduduk setempat.

“Ini bukan sekadar jalan biasa, ini adalah nadi penghubung kehidupan kami. Dulu, untuk ke kampung sebelah pun sukar, kini perjalanan lebih mudah dan selamat. Datuk Robert benar-benar memahami keperluan rakyat,” katanya.

Selain meningkatkan kemudahan perjalanan, jalan baharu ini turut membuka peluang kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti riadah seperti berjoging dan bersantai, memandangkan trafik di kawasan ini masih terkawal. Sungai di Kampung Tangkongan juga dikenal pasti berpotensi sebagai destinasi perkelahan jika diberi perhatian dan dinaik taraf.

Komitmen Datuk Robert dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat jelas terserlah melalui projek pembangunan seperti ini. Beliau bukan sekadar seorang pemimpin, tetapi seorang pejuang pembangunan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Dengan adanya infrastruktur yang lebih baik, penduduk Mukim Bingkor kini menikmati kehidupan yang lebih selesa, selamat dan efisien. Kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Robert semakin kukuh kerana beliau telah membuktikan bahawa kepimpinan bukan sekadar janji, tetapi satu amanah yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN