30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

RM155,000 UNTUK pembaikan Klinik Kesihatan Bongawan: James


KOTA KINABALU: Lebih Kurang RM155,000 akan diperuntukkan bagi pembaikan Klinik Kesihatan Bongawan yang sedia pada tahun 2024, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib.


“Kerajaan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sememangnya telah mempunyai perancangan untuk mewujudkan Klinik Kesihatan (KK)Jenis 4 Bongawan yang baharu.


“Namun tapak baharu yang sesuai masih sedang dikenalpasti memandangkan tapak tanah yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai kerana berpaya dan berisiko banjir.


“Klinik Kesihatan Bongawan yang sedia ada telah disenaraikan dalam projek pembaikan klinik daif untuk tahun 2024 dengan anggaran kos RM155,000,” kata beliau.


Tambahnya lagi, cadangan keluasan tapak yang diperlukan adalah 10 ekar bagi pembinaan KK Jenis 4, kuarters dan kemudahan-kemudahan lain untuk kakitangan dan pesakit.


James berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat ADUN Bongawan, Dr. Daud bin Yusof semasa hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas pada hari Isnin.


Dalam soalannya, Dr Daud bertanya kepada Menteri KPMKR, adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menaiktaraf Klinik Kesihatan Pekan Bongawan.
James yang juga ADUN Sugut menambah, Klinik Kesihatan Bongawan mula beroperasi sejak tahun 1963 di Pekan Bongawan.


“Pada asalnya bangunan klinik adalah binaan kayu dan dinaiktaraf pada tahun 2003 ke bangunan konkrit.
“Pada masa ini, Klinik Kesihatan Bongawan menerima jumlah pesakit seramai 160 orang pesakit sehari, dan sememangnya memerlukan naiktaraf bangunan klinik tetapi ruang tapak sedia ada sangat terhad,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN