30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

RM1 juta diluluskan untuk tangani isu hakisan pantai Tg Aru

Dr. Zaliha bersama Rithuan (dua dai kanan) ketika meninjau  hakisan pantai Tg. Aru Nelayan

LABUAN:  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan telah memperuntukan sebanyak RM200,000, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mendapat kelulusan sebanyak RM800,000  menjadikan jumlah keseluruhan RM1 juta untuk menangani isu hakisan pantai di Tanjung Aru Nelayan.

 “Saya difahamkan JPS Labuan telah mendapat peruntukan sebanyak RM800,000 untuk  membina benteng hakisan pantai di Tanjung Aru dan   Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) juga telah memperuntukan sebanyak RM200,000  kepada Perbadanan Labuan bagi membantu  menyelesaikan isu hakisan yang berlaku berhampiran gerai para peniaga di kawasan itu” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak hakisan pantai Tanjung Aru Nelayan sempena lawatan kerja rasmi  dua hari beliau ke Labuan, baru baru ini.

Dr Zaliha berkata,   masalah  hakisan pantai berkenaan telah dikenalpasti  menerusi Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada  2015.

Katanya, hakisan pantai yang berlaku sejak beberapa tahun lalu   telah menyebabkan hakisan sepanjang satu kilometer sehingga menjejaskan tanah milik penduduk yang tinggal berdekatan kawasan pantai termasuk peniaga kecil kecilan yang berniaga di pesisir pantai berkenaan.

“Sebelum ini, penduduk dan peniaga telah berusaha membina dinding penahan sementara daripada batu dan simen tetapi malangnya, ia rosak semasa ribut kencang melanda” katanya.

Beliau berharap dengan adanya peruntukan itu, penduduk dan peniaga tempatan yang berniaga di kawasan itu boleh menjalankan perniagaan dengan lebih selamat.

Dr Zaliha berkata, pantai Tanjung Aru Nelayan berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu daya tarikan pelancong dalam dan luar kerana di sini terdapat gerai makanan tradisonal yang diusahakan oleh penduduk kampung.

Sementara itu katanya, Perbadanan Labuan telah mempunyai perancangan jangka panjang untuk memajukan kawasan itu yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Hadir sama pada lawatan itu, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan Ketua Kampung Tanjung Aru, Harun Damit.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN