Datuk Faimin menyampaikan cenderakenangan kepada Badli Shah (kanan) diperhatikan Datuk Jonathan (dua kiri), Datuk Amisah dan Jumain (dua kanan)
KUNDASANG: Lebih 1,000 masyarakat Islam menghadiri sambutan Maal Hijrah 1445 (2023 Masihi) peringkat daerah Ranau di perkarangan Pentas Budaya pekan di sini pada Sabtu.
Majlis itu telah di rasmikan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun yang diwakili Pegawai Khasnya,
Datuk Haji Faimin Bin Kamin.
Datuk Masidi dalam tekas ucapannya yang disampaikan Datuk Faimin, mengajak masyarakat Islam supaya bersatu dan menolak sebarang usaha memecah-belahkan perpaduan.
“Adalah amat penting kita ketahui bahawa hasrat kita dalam membina sebuah negara dan masyarakat madani tidak mungkin akan terlaksana apabila ada pihak yang melakukan sesuatu berdasarkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ sehingga tergamak memainkan sentimen perkauman dan agama bagi menyalakan api kebencian sehingga memusnahkan segala visi dan misi untuk membentuk sebuah negara yang aman dan makmur selaras dengan tema sambutan yang kita bicarakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’,”jelas Datuk Masidi.
Beliau menegaskan adalah menjadi tanggunjawab kepada seluruh rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara menolak sebarang perbuatan yang menggunakan sentimen kebencian bagi meraih matlamat tertentu.
“Kita tidak boleh membiarkan sentimen kebencian terus dimainkan oleh pihak-pihak tertentu termasuklah portal-portal berita yang merasakan mereka bebas melakukan apa sahaja atas nama kebebasan bersuara.
“Justeru dengan berbekalkan semangat kesatuan akidah, ukhuah dan mahabbah yang diteladankan kaum muhajirin dan kaum ansar diawal episod Hijrah kemudian disematkan pula perasaan cintakan kepada negara tanah air, maka sewajarnya kita bersama-sama berhijrah untuk bangkit menghapuskan api kenencian antarakaum mahupun antara penganut agama.
Jangan biarkan negara porak peranda akibat sentimen keji itu, jangan biarkan kestabilan negara dan ekonomi tergugat dengan tindakan negatif gerombolan perosak kepada Malaysia tercinta ini”, tegas Datuk Masidi sambil mengajak masyarakat Islam supaya menjayakan bersama Gagasan Malaysia Madani dengan menjiwai serta mempraktikan semangat ‘Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing’ dan ‘Hati Kuman Sama Dicecah, Hati Gajah Sama Dilapah’ bagi merekayasa Negara bangsa Malaysia Madani yang lebih dinamik serta bersatupadu.
Turut berucap ialah, Pegawai Daerah Ranau selaku Pengerusi sambutan Maal Hijrah 2023, Jamain Bin Abd Ghani, sementara turut diadakan ialah, Ceramah khas, bertajuk ‘Hijrah 1445′ yang disampaikan oleh Sahibus Saadah Ust.Dato’ Haji Badli Shah Bin Haji Alauddin, Timbalan Mufti Negeri Pahang diserikan dengan persembahan Nasyid kumpulan Nur-El-Sabah.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin dan ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin.