ROSAK..Peralatan SJR yang rosak akibat dirempuh dalam kejadian April 2020.
RANAU: Gara-gara merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR), seorang lelaki tempatan dipenjara dua hari dan denda sebanyak RM6,000.00 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Mahkamah turut memerintahkan, kesalahan tersebut direkodkan ke dalam lesen memandu tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh berumur 43 tahun, beralamat Kg.Paka 2, didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, ketika memberitahu media berkata, dalam kejadian 18 April 2020, lebih kurang 12.15 malam, tertuduh yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda telah merempuh SJR di kilometer 2, Jalan Ranau-Tambunan, dekat Kg. Pasir Putih.

DSP Sammy Newton
Menurut DSP Sammy, rempuhan itu menyebabkan kerosakkan kepada peralatan SJR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
“Rentetan dari kejadian itu, polis telah menahan pemandu (tertuduh) yang memandu secara merbahaya kepada petugas-petugas barisan hadapan PDRM,” katanya kepada Borneo Daily Bulliten, kemarin.
Sementara dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan turut dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 oleh Mahkamah Majistret Ranau, selepas didapati bersalah mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
Tertuduh berumur 30 tahun dari Kg.Lembah Permai, Kundasang, yang berdepan hukuman penjara dua minggu jika gagal membayar denda telah menjelaskan bayaran denda tersebut.
Terdahulu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan apabila disabitkan tertuduh boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 108(3)(j) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian l9.30 pagi, 30 Januari 2020, bertempat di Pekan Kundasang, polis yang sedang bertugas dalam OP Selamat sempena Tahun Baru Cina telah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas sebuah kenderaan kerana didapati mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan kenderaan tersebut.
Dalam pada itu, DSP Sammy menegaskan PDRM Ranau memandang serius berkenaan pesalah laku lalulintas di dalam Daerah ini.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ranau akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan lalulintas bagi memastikan tiada pelanggaran undang- undang di jalanraya berlaku.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, patuhi peraturan-peraturan lalulintas dan jaga tatakelakuan ketika berada di atas jalanraya, elakkan daripada mengubahsuai kenderaan tanpa kebenaran dan memalsukan apa-apa dokumen atau nombor pendaftaran kenderaan.
“Sekiranya didapati mana-mana pengguna jalanraya yang tidak mematuhi peraturan lalulintas, tindakan tegas seperti saman dan sita kenderaan akan diambil termasuklah menuduh pesalah ke mahkamah kerana PDRM tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang tidak mematuhi undang-undang yang sedia ada,” tegasnya.
Tambah DSP Sammy, PDRM Ranau mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang telah tampil menyalurkan maklumat berkaitan pesalah lalulintas.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan di jalanraya agar menyalurkan maklumat tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Ranau.