ADVERTISEMENTspot_img

Remaja Perempuan Sabah Berjaya Mempertahankan Gelaran Juara Tenpin Boling

Kuartet remaja perempuan Sabah (tengah) menang emas acara berpasukan berempat. Kelihatan digambar mereka bersama pemenang lain di podium penyampaian hadiah.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KOTA KINABALU: Sabah berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat tahun keenam berturut-turut kategori Remaja Perempuan dalam Kejohanan Tenpin Boling Antara Negeri Ke-37 2026.

Kejohanan yang berlangsung di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Selangor pada 28-30 September itu menyaksikan atlet remaja perempuan Sabah merangkul dua pingat emas dan satu gangsa.

Pingat emas pertama kategori Remaja Perempuan diraih Nur Aleeya Syakirah Awang Ali dalam acara individu pada hari pertama kejohanan.

Gandingan kuartet Nur Aleeya Syakirah, Nur Jeehan Iezzaty, Natalie Chong Yi Wen dan Dhaniya Marissa Aleeya kemudiannya menggandakan emas itu menerusi acara berpasukan berempat pada hari terakhir kejohanan.

Pingat emas kedua itu bagaimanapun tidak diraih dengan mudah apabila ia memerlukan kuartet Sabah menunggu sehingga ke blok permainan terakhir untuk memintas pasukan tuan rumah Selangor dengan hanya kelebihan dua pin.

Nur Aleeya kemudian mengukuhkan kedudukan Sabah dengan meraih pingat gangsa dalam kategori All-Event.

Pingat dari remaja perempuan itu membantu pencapaian keseluruhan Sabah merangkul tiga pingat emas, satu perak dan tiga gangsa di mana atlet senior meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa.

Atlet senior, Nurul Alyssa Junaidi merangkul pingat emas manakala rakannya, Qistina Tamring menang pingat perak kategori wanita individu pada hari pertama kejohanan.

Tambahan dua pingat gangsa diraih pada hari terakhir kejohanan menerusi pasangan Fadzil Abdul Ghani dan Jamlidin Manap dalam acara beregu lelaki serta gandingan Intan Qistina, Nurul Amirah, Nurul Ayunni dan Nurul Alyssa dalam acara berpasukan berempat wanita.

Presiden Persatuan Tenpin Bowling Negeri Sabah (PTBNS), Rozzainy Sham Talip berkata, persaingan dalam kejohanan itu lebih sengit tahun ini.

“Sebab itu, saya tetap bangga walaupun kami tidak berjaya menyamai rekod kutipan pingat tahun lalu (lima emas, satu perak dan empat gangsa) kerana persaingan semakin sengit.

“Sekurang-kurangnya kami berjaya mempertahankan gelaran juara kategori Remaja Perempuan buat tahun keenam berturut-turut,” kata Rozzainy sambil syabas dan tahniah kepada semua anggota pasukan.

Menurutnya, beberapa atlet Sabah akan meneruskan perjuangan dalam Kejohanan Tenpin Boling Kebangsaan Ke-48 2026 di venue sama pada 1-5 Oktober.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN