ADVERTISEMENTspot_img

REGATTA BATANG KAYAN LUNDU 2026 MERIAHKAN DAERAH TIGA HARI MULAI 25 SEPT

HEBAHAN……..Datuk Haji Azizul (dua kanan) bakal menyempurnakan upacara perasmian Regatta Batang Kayan Lundu 2026.

Oleh: Salwah Aramat

LUNDU: Daerah Lundu bakal meriah dengan penganjuran Regatta Batang Kayan Lundu 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 September ini, menampilkan pelbagai aktiviti sukan, kebudayaan, hiburan dan kemasyarakatan.

Penganjuran itu dijangka menjadi antara acara utama di daerah berkenaan dengan menghimpunkan masyarakat setempat serta pengunjung menerusi pelbagai program yang disusun sepanjang tempoh berkenaan.

Pada 25 September, aktiviti bermula seawal 8 pagi menerusi pameran dan jualan di Town Square serta acara Regatta Batang Kayan di Waterfront.

Jualan Rahmah turut diadakan di Waterfront bermula 9 pagi, manakala Majlis Perasmian Regatta Batang Kayan Lundu 2026 dijadualkan pada 2.30 petang di Pentas Utama.

Majlis itu akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.03 Tanjung Datu, Haji Azizul Annur Pehin Seri Adnan Satem, sebelum diteruskan dengan Lundu Heritage Square Fest pada 7.30 malam.

Pada 26 September, pelbagai aktiviti diteruskan termasuk pameran dan jualan, Regatta Batang Kayan serta Jualan Rahmah di Waterfront.

Turut berlangsung Program Jelajah Nasional Malaysia Sihat Peringkat Bahagian Kuching Siri 4/2026, Pertandingan Memanah di Padang Bumiputera dan Sukan Rakyat di Padang Jubli.

Acara pada sebelah malam pula diserikan dengan Konsert Rakyat pada 7.30 malam di Pentas Utama, yang menyediakan ruang kepada masyarakat menikmati hiburan bersama keluarga dan komuniti.

Pada hari terakhir, 27 September, program diteruskan dengan pameran dan jualan serta Regatta Batang Kayan di Waterfront, selain Jualan Rahmah dan Pertandingan Memanah di Padang Bumiputera.

Program tiga hari itu akan melabuhkan tirai menerusi Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan Lundu 2026 pada 2.30 petang di Pentas Utama.

Regatta berkenaan turut menampilkan pelbagai kategori pertandingan perahu, antaranya Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Raja Sungai), Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Unlimited) Marathon 4 kilometer, Bidar 20, Bidar 25, Bidar 15 dan Bidar 10 Pekayuh Lelaki, selain beberapa kategori merebut piala.

Penganjuran Regatta Batang Kayan Lundu 2026 bukan sahaja mengetengahkan sukan tradisional, malah menjadi platform memperkukuh hubungan dan semangat perpaduan masyarakat, di samping mempromosikan warisan, budaya serta identiti tempatan kepada pengunjung.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN