RANAU: Satu rangka manusia yang telah reput ditemui dalam sebuah pondok usang dekat Ladang Teh Sabah (Sabah Tea), di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton berkata, rangka yang belum diketahui identitinya dijumpai seorang pekerja ladang teh berkenaan.
Katanya, Balai Polis Ranau telah menerima panggilan daripada ketua penyelia ladang kira-kira 7.30 pagi, memberitahu seorang pekerjanya telah terjumpa rangka manusia.
“Sejurus menerima panggilan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau serta pegawai penyiasat bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Tiba di tempat kejadian, polis menemui satu rangka manusia yang tidak lengkap sifat dan telah reput. Polis turut menemui identiti pengenalan diri mangsa,” katanya kepada media hari ini.
Menurut DSP Sammy, berdasarkan dokumen diri yang ditemui, mangsa adalah lelaki di̇kenali sebagai Reynaldo C. Muares, berumur 49 tahun, warganegara Filipina.
“Rangka mangsa telah disimpan di Unit Forensik Hospital Ranau sementara menunggu proses bedah siasat. Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan Covid-19 diperolehi. Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya.
Sementara itu, beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara serta pekerja, tampil bagi membantu siasatan. TAMAT