Ruslan menyampaikan sijil kepada salah seorang pemenang johan P15, Ledia Engku dari Ranau
RANAU: Kontinjen Ranau menjuarai Kejohanan Merentas Desa Peringkat MSS Negeri Sabah yang berpusat di Padang Pekan Ranau baru-baru ini.
Kejohanan tersebut disertai 24 daerah di seluruh negeri iaitu Ranau, Kota Marudu, Tuaran, Kota Belud, Tambunan, Keningau, Telupid,Tenom, Lahad Datu, Papar, Pitas, Kudat, Kunak, Tawau, Nabawan, Beluran, Beaufort, Penampang, Semporna, Sandakan, Kota Kinabalu, Kinabatangan, Sipitang dan Kuala Penyu.
Dalam kejohanan itu, Kontinjen Ranau muncul juara kategori 15 dan 18 tahun ke bawah dengan agregat 91 dan 109. Kelebihan ini menjadikan Kontinjen Ranau dijulang selaku juara keseluruhan dengan agregat sebanyak 433.
Tempat kedua dan seterusnya ialah Tuaran (573), Kota Merudu (Ketiga/691), Papar (Ke-4/704), Keningau (716), Telupid (866), Pitas (902), Lahad Datu (933), Tambunan (945), Tenom (1082), Beluran (1246), Semporna (1406), Kota Kinabalu (1440), Nabawan (1494), Sandakan (1535), Kota Belud (1904) dan Kudat (2004).
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Ruslan Madisal dalam ucapan perasmian dan penangguhan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penglibatan semua pihak khususnya para peserta dalam menjayakan kejohanan merentas desa peringkat negeri pada tahun ini.

5 peserta terbaik mengikut kategori wakili Kontinjen Sabah ke peringkat kebangsaan
“Sesungguhnya penyertaan anda semua pada tahun ini setelah dua tahun berehat memberikan satu semangat yang luar biasa kepada semua di 24 daerah seluruh negeri, bergabung dan bersaing untuk mencapai semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.
“Bagi saya merentas desa adalah pembuka tirai untuk sukan-sukan yang lain khususnya olahraga. Ini adalah sebagai persediaan awal kecergasan untuk dibawa ke sukan olahraga peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
“Kejayaan hari ini bukan hanya berdasarkan kedudukan 1 hingga 5 tetapi penyertaan dan semangat bersaing itu adalah lebih penting. Sesungguhnya kamu datang ke sini semuanya adalah pemenang dan bagi saya tiada yang kalah kerana kamu adalah yang terbaik dibawa dari setiap daerah masing-masing untuk bertanding pada hari ini. Kamu hanya bersaing mendapat tempat terbaik untuk dibawa ke peringkat kebangsaan yang berpusat di Negeri Terengganu pada 4 hingga 6 Ogos tahun ini,” jelasnya lagi.
Selepas menyampaikan ucapan, Ruslan diiring Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan (Menangung Kerja Pegawai Pendidikan Daerah), Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Foo Lee Yen dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Sandy Kariki @ Gerald menyampaikan sijil dan medal kepada para pemenang.