25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

RANAU CATAT REKOD TERSENDIRI, 27 CALON BERTANDING DI TIGA DUN PADA PRN SABAH KE-17

TUJUH PENJURU….Barisan calon bagi kawasan DUN N37 Karanaan (dari kiri) Karim, Anuar, Masidi, Mazlan, Noumi, Nazmin dan Georgina



RANAU: Parlimen P.179 Ranau mencipta sejarah tersendiri apabila seramai 27 calon disahkan layak bertanding di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, menjadikannya antara daerah paling sengit dan ramai calon di negeri ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang juga Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, mengumumkan senarai calon berkenaan selepas tamat proses bantahan kira-kira jam 11.30 pagi di Dewan Masyarakat Ranau, hari ini.

DUN Kundasang… (Dari kiri) Japiril, Edward, Atong, Jeffrey, Nazarul, Rogers, Jattry Abie @ Jeffry, Japirin, Jackson dan Dr.Joachim.

Bagi DUN N36 Kundasang, pertandingan 10 penjuru menyaksikan penyandang kerusi lima penggal, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam (PBS-GRS) berdepan persaingan paling besar dalam kerjayanya. Beliau dicabar Datuk Japiril Suhaimin (SAPP), Edward Jamkim (PIS), Atong Antong (PN), Jeffrey Gopog (Warisan), Nazarul Khaiwala Wahab (PAN), Rogers Tiam (UPKO), Jattry Abie @ Jeffry Mohd Ali (PKDM), Japirin Sahadi (BN-PBRS) serta calon Bebas, Jackson Musi.

Di DUN N37 Karanaan, tujuh calon sah bertanding termasuk penyandang, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (GRS). Turut serta ialah Georgina L. George (UPKO), Mukinan @ Mazlan Daiman (Warisan), Naomi @ Neomi Francis Siam (Bebas), Md Nazmin Kamin (UMNO-BN), Karim Adam (PKDM) dan Anuar @ Philip Tan Sri Ghani Gilong (STAR).

Sementara itu, DUN N38 Paginatan turut mencuri tumpuan apabila penyandang, Datuk Abidin Madingkir (GRS) dicabar sembilan calon lain termasuk tokoh-tokoh politik dan teknokrat, iaitu Datuk Junaidi Sahat (UMNO-BN), mantan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Rusdin Riman (PKDM), Juhaili Sidek (Warisan), Rubica Sigin (PAN), Bensin Dani (Perjuangan Rakyat), Ivan Benedict (Bebas), Vennex Jasmin (Bangsa Malaysia), Feddrin Tuliang (STAR) dan Linus Ayub @ Md Haidi Md Badawi (PIS).

DUN PAGINATAN…(dari kiri) Juhaili, Rabica, Vennex, Bensin, Abidin, Feddrin, Ivan, Junaidi, Linus dan Rusdin

Dengan jumlah calon yang begitu besar, Ranau kini menjadi antara tumpuan utama PRN Sabah kali ini, khususnya kerana daerah itu sering dianggap sebagai barometer sokongan politik di kawasan pedalaman tinggi negeri ini. Pertembungan banyak penjuru dijangka memecahkan undi antara blok GRS, BN, Warisan, parti-parti baharu serta calon bebas yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi muda.

Pemerhati politik tempatan menyifatkan persaingan di Ranau sebagai “terbuka dan tidak boleh dijangka” berikutan perubahan pola sokongan masyarakat yang majoriti Dusun serta pengundi muda yang menjadi komponen besar di Kundasang, Karanaan dan Paginatan.

Kehadiran calon-calon baharu dan profesional, termasuk mantan pegawai kanan kerajaan dan aktivis masyarakat, turut menambah intensiti kempen di ketiga-tiga kawasan di sini.

Kempen rasmi PRN Sabah Ke-17 bermula hari ini dan akan berlangsung selama 14 hari sebelum hari pengundian yang ditetapkan pada 29 November ini.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN