SERAH SUMBANGAN…James mewakili Ketua Menteri Sabah menyampaikan bantuan 500 unit bakul makanan kepada Pejabat Daerah Beluran yang diterima oleh Nordin Daling selaku Pegawai Daerah Beluran.
BELURAN : Kerajaan Negeri Sabah terus memainkan peranan secara aktif dalam membantu segenap lapisan rakyat yang terjejas khasnya ketika sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sedang berkuatkuasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut, Datuk James Ratib menjelaskan, komitmen kerajaan negeri Sabah dibawah pentadbiran YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Hj. Noor selaku Ketua Menteri Sabah akan terus mempastikan tiada golongan yang tercicir untuk menikmati apa juga bantuan ketika berhadapan dengan penularan wabak Covid-19 ketika ini.
“Kita bertuah kerana memiliki seorang Ketua Menteri Sabah yang begitu komited dalam melaksanakan tugas beliau selaku Ketua Kerajaan. Rakyat terus menikmati pelbagai bantuan bukan sahaja dalam bentuk material, bahkan kewangan untuk meringankan bebanan mereka dalam saat sukar ini’’. Jelasnya pada Rabu.
Dalam pada itu, sebanyak 500 unit bakul makanan bernilai RM 50,000 telah disumbangkan kepada Pejabat Daerah Beluran untuk diagih-agihkan kepada penduduk terjejas disekitar daerah itu yang disampaikan oleh Datuk James Ratib mewakili YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Hj. Noor, Ketua Menteri Sabah. Bakul makanan tersebut adalah sumbangan daripada kumpulan Sawit Kinabalu sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri telah diterima oleh Nordin Daling, Pegawai Daerah Beluran.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah turut menjelaskan, rakyat perlu mengambil sikap berpada-pada walaupun kerajaan telah membenarkan beberapa sektor perniagaan beroperasi semula.
Jelasnya, walaupun kebenaran itu telah diberikan, namun setiap individu perlu sentiasa beringat dan saling menasihati sesama mereka agar mengurangkan pergerakan ke kawasan terdedah berikutan keaktifan pandemik ini masih sukar dijangka.
‘’Orang awam juga sama peranannya dengan barisan hadapan. Walaupun kita tidak terlibat dengan tugas rasmi mereka, cukup sekadar memberikan nasihat kepada sesama kita dan dikalangan ahli keluarga untuk sama-sama mencegah penyakit ini daripada menular. Pematuhan sepenuhnya SOP yang digariskan adalah penting’’, tegasnya.