KOTA KINABALU: Semua pihak perlu terus memelihara imej Sabah sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan semangat toleransi, perpaduan dan keharmonian walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.
Menteri Pendidikan, Sains dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, budaya hormat-menghormati yang sekian lama menjadi identiti rakyat Sabah perlu dipertahankan termasuk dalam penggunaan media sosial seperti Facebook, X, WhatsApp dan platform digital lain.
Menurut beliau, medium media sosial sewajarnya digunakan secara matang, berhemah dan berlandaskan nilai kesopanan serta tatasusila rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah terkenal dengan budaya sopan santun dan kelembutan dalam pertuturan. Oleh itu, saya menasihatkan semua pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan komen atau pandangan supaya tidak melampaui batas dan menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Sugut berkata, tindakan segelintir individu yang menggunakan media sosial untuk menghina institusi tertinggi negeri termasuk Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah amat dikesali dan tidak mencerminkan budaya rakyat negeri ini.
Beliau berkata, terdapat pihak tertentu yang secara terbuka menggunakan platform Facebook untuk melemparkan kata-kata kesat, tuduhan tidak berasas serta provokasi melampau terhadap pemimpin negeri dengan tujuan meraih perhatian dan menanam kebencian dalam kalangan rakyat.
“Saya sendiri melihat paparan tersebut yang jelas tidak beretika dan mempunyai niat jahat untuk memalukan pemimpin negeri khususnya TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah. Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak matang, malah boleh mengganggu keharmonian serta mencetuskan persepsi negatif dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan sebuah akaun Facebook dikenali sebagai “Aqubahni Acp” yang didakwa memuat naik kandungan berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri Malaysia, Kerajaan Madani serta TYT Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman. Akaun berkenaan turut didakwa memaparkan suntingan gambar yang bersifat menghina, memperlekeh dan menghasut rakyat terhadap kepimpinan negeri.
Sehubungan itu, James menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkaitan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk mencetuskan provokasi melampau dan menghina institusi negeri.
Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa kompromi terutama jika melibatkan unsur penghinaan, hasutan dan isu berkaitan 3R yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian rakyat Sabah.



