Supt Mursalin, Jonathan, Rusdin dan lain-lain melihat haiwan-haiwan korban sempena sambutan majlis itu
RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau pada Rabu menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2026M / 1447H yang penuh bermakna, diserikan dengan majlis simbolik penyerahan lembu korban.
Acara yang bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat perpaduan ini dipimpin oleh Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Mursalin Bin Mahmud.
Supt Mursalin menegaskan bahawa penganjuran majlis ini merupakan inisiatif IPD Ranau untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara pegawai kanan Polis, pegawai rendah Polis, pegawai Awam, dan PERKEP IPD Ranau.
Beliau turut menekankan kepentingan memupuk semangat perpaduan dan penghayatan nilai ibadah korban dalam kalangan warga IPD Ranau dan masyarakat setempat.
“Hari Raya Aidiladha mengingatkan kita tentang kepentingan pengorbanan dan perkongsian dengan mereka yang memerlukan,” kata Supt Mursalin dalam ucapannya.
“Sambutan ini di IPD Ranau membolehkan kita bersatu sebagai sebuah keluarga, mengukuhkan komitmen kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan dedikasi dan integriti.
“Ia juga menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerjasama strategik di antara wakil rakyat kawasan Ranau bersama IPD Ranau secara berterusan.”
Majlis tahunan IPD Ranau ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan, Datuk Rusdin Riman. Kehadiran mereka menggariskan sokongan padu wakil rakyat terhadap program dan aktiviti anjuran IPD Ranau.
Penglibatan wakil rakyat ini amat penting dan signifikan dalam memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara PDRM Ranau bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, di samping mempermudah sebarang urusan rasmi secara berterusan serta mengekalkan keharmonian setempat.
Hari Raya Aidiladha yang disambut pada 10 Zulhijjah dalam kalendar Islam setiap tahun, merupakan tanda kesyukuran dan bukti ketaatan umat Islam kepada Allah SWT. Ia juga bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kesanggupan Nabi Ibrahim untuk melaksanakan perintah Allah SWT menjadi lambang pengorbanan yang tinggi nilainya dalam Islam.
Aktiviti penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk menunaikan ibadah, malah turut memperkukuhkan semangat perpaduan serta menyemarakkan penghayatan nilai-nilai pengorbanan yang menjadi tuntutan dalam Islam.
Sambutan Aidiladha juga memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim kalangan warga IPD Ranau menerusi aktiviti gotong-royong melapah daging secara beramai-ramai dan mengagihkan daging korban, yang dapat mewujudkan suasana penuh harmoni kekeluargaan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah pegawai-pegawai kanan dan kakitangan IPD Ranau, pemimpin-pemimpin tempatan, serta tetamu jemputan, semuanya menyumbang kepada suasana perayaan dan kebersamaan.
–TAMAT—



