30 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat Sabah perlu yakin dengan GRS dan BN : Kong Soon Choi

RANAU: Rakyat negeri ini perlu yakin dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) kerana kedua-dua entiti politik itu memperjuangkan kestabilan politik demi rakyat diseluruh negeri Sabah dan negara Malaysia

Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah), Kong Soon Choi berkata, tanggapan pembangkang yang menyatakan GRS-BN masih bertunjangkan kuasa di Semenanjung adalah persepsi negatif yang berniat untuk mempengaruhi minda pengundi agar membenci kedua-dua parti tersebut.

“Kita memperjuangkan kestabilan politik demi mempastikan sistem pentadbiran kerajaan negeri Sabah dan negara Malaysia terus stabil. Cuba bayangkan, apa yang berlaku sebelum ini dimana sehingga tiga kali kita bertukar Perdana Menteri, bukan sahaja ekonomi terjejas, malah pentadbiran dan pengurusan kampung juga terjejas”. Jelasnya.

Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda GRS menjelaskan, rakyat Sabah perlu sentiasa releven dalam memilih calon pada PRU-15 ini dan menilai manifesto yang mempunyai masa depan lebih baik berbanding perjuangan bersifat peribadi.

Katanya, memang perkara biasa setiap kali menjelang PRU terdapat pihak-pihak mencipta manifesto seolah-olah mereka mampu memberi yang terbaik kepada rakyat.

Namun apa yang nyata adalah, Kerajaan GRS-BN sebenarnya telah membuktikan sistem pentadbiran yang kukuh selepas membentuk Kerajaan Negeri Sabah sejak dua tahun lepas dan rakyat dapat melihat pencapaiannya.

“Hakikatnya, Sabah mencatat kutipan hasil RM5.449 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, menjadikannya perolehan tertinggi dicatatkan kerajaan negeri sejak merdeka 58 tahun lalu. Ini adalah bukti pentadbiran Ketua Menteri Sabah bersama Kerajaan GRS-BN”. Jelasnya.

Justeru, Kong berharap dalam PRU-15 seluruh rakyat negeri ini memberikan kepercayaan penuh kepada calon-calon GRS-BN untuk mempastikan parti itu dapat bersama membentuk Kerajaan Pusat yang lebih baik dan berdaya saing demi masa depan rakyat keseluruhannya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN