Limus memakaikan Sigah kepada James ketika tiba di majlis itu
KUALA PENYU: Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib menyeru agar lebih ramai lagi rakyat berbilang kaum hadir menjayakan acara-acara Pesta Kaamatan, terutama dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, ia amat penting bagi memberikan pendedahan, kefahaman dan kesedaran kepada golongan muda mengenai kepentingan memelihara dan memartabatkan budaya tempatan.
“Sesungguhnya kita amat bersyukur kerana walaupun masyarakat kita terdiri daripada lebih 32 suku kaum dan etnik, namun selama ini kita dapat hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni.
“Justeru, besarlah harapan saya agar kita bersama-sama dapat memelihara semangat yang positif ini kerana ia memberikan sumbangan yang besar dan amat bermakna kepada kestabilan politik dan kepesatan pembangunan ekonomi dalam pelbagai bidang seperti mana yang kita nikmati pada hari ini,” kata beliau.
James yang juga merupakan Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Dato Syahbandar Makang Kuala Penyu pada hari Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh pelosok negeri termasuklah di kawasan ini, melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan agenda.
“Apa yang penting adalah untuk rakyat sentiasa memberikan sokongan padu kepada usaha-usaha kerajaan dalam membela mereka dengan memanafaatkan banyak potensi di kawasan masing-masing termasuklah mempromosikan keunikan dan kepelbagaian adat dan tradisi budaya masyarakat tempatan.
“Ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada penyediaan pelbagai peluang sosioekonomi untuk rakyat seperti pelancongan inap desa (homestay) dan perusahan industri kecil dan sedarhana (iks).
“Ooleh itu, saya menyarankan agar sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi medan untuk kita mengukuhkan semangat perpaduan rakyat dan memartabatkan budaya, bahkan juga menjana kepesatan industri pelancongan menerusi keunikan budaya,” kata beliau.
Ini, kata beliau, sekaligus membuktikan bertapa rakyat di negeri ini sentiasa bersatu padu dalam pelbagai perayaan dengan penyertaan seluruh masyarakat yang berbilang kaum dan agama, dengan semangat muhibah dan penuh harmoni.
James merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Limus Jury, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Adun N.33 Kuala Penyu dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu yang juga merangkap Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sebastian Ingkim.
“Semoga pelbagai acara dan program yang diatur sepanjang perayaan ini di seluruh Negeri Sabah akan dapat berjalan dengan lancar dan jayanya dengan penyertaan dan sokongan padu daripada semua lapisan rakyat,” jelas beliau.
Turut hadir, Datuk Limus Bin Jury Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri Sabah Merangkap Adun N33 Kuala Penyu, Sebastian Ingkim Pegawai Daerah Kuala Penyu Merangkap Pengerusi Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu, dan lain-lain.