31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat kawasan Parlimen Beluran masih ramai dahagakan pembangunan: James Ratib

James Ratib…. Yakin dengan usaha Ahli Parlimen Beluran yang kini menjawat jawatan menteri diperingkat Pusat untuk menilai kesesuaian penambahan pembangunan dikawasan Parlimen Beluran.

BELURAN: Rakyat dikawasan Parlimen Beluran masih ramai yang dahagakan pembangunan sewajarnya untuk menikmati taraf kehidupan yang lebih selesa dan memudahkan mereka meningkatkan ekonomi diri sendiri serta keluarga.

Menegaskan perkara itu, Datuk James Ratib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut berkata, beliau menyedari keluasan dan bentuk muka bumi kawasan itu yang agak luas untuk seorang wakil rakyat melaksanakan tugas sepenuhnya namun ia adalah hakikat yang perlu diusahakan.

Katanya, sebagai wakil rakyat diperingkat Dewan Undangan Negeri (Dun), kapasitinya memang terhad namun hampir setiap hari beliau menerima pelbagai aduan mengenai keluh resah rakyat dan individu dikawasan Parlimen Beluran yang masih kecewa dengan rentak pembangunan sewajarnya.

‘’Saya yakin dan percaya, wakil rakyat Parlimen Beluran yang telah mewakili kawasan itu sejak beberapa penggal telah melaksanakan tugas dan fungsinya sehabis baik. Dan ia mungkin akan terus ditambah baik dari masa ke semasa. Beluran adalah kawasan berpotensi besar untuk sumber ekonomi, pertanian dan perikanan’’. Jelasnya ketika ditemui pada Khamis selepas mesyuarat persiapan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Paitan di Pejabat Daerah Paitan.

James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah menjelaskan, aspek pembangunan yang disuarakan majoriti rakyat bukanlah impian menjadikan kawasan itu sebuah bandaraya besar, sebaliknya beberapa keperluan asas seperti pembaikan jalanraya, penambahbaikan sistem bekalan elektrik dan air termasuk penyediaan permis perniagaan yang membuka ruang pekerjaan.

Dalam hal itu, katanya, wakil rakyat diperingkat Dun antara tulang belakang yang kukuh untuk mempastikan keseluruhan rakyat menikmati kemudahan tersebut, namun peruntukan mereka terpaksa diagih-agihkan kepada beberapa pembangunan lain termasuk hal-hal kebajikan rakyat.

Justeru itu, James berharap kawasan Parlimen Beluran terus diberikan lebih banyak limpahan pembangunan daripada Kerajaan Pusat bagi merealisasikan impian rakyat menikmati pembangunan sejagat yang lebih selesa.

‘’Saya sebagai Adun Sugut juga akan terus memperkuatkan peranan dan tanggungjawab saya menjaga sebaiknya kawasan dan rakyat saya. Isu-isu asas seperti jalanraya, elektrik dan air bagi kawasan saya, saya akan terus usahakan sehingga keperingkat atasan untuk mendapatkan penyelesaian terbaik’’. Tegasnya.

Dalam masa sama, beliau juga yakin dengan usaha Ahli Parlimen Beluran yang kini menjawat jawatan menteri diperingkat Pusat untuk menilai kesesuaian penambahan pembangunan dikawasan itu khususnya dalam bidang pertanian, perladangan dan perikanan.

katanya, beliau bersedia ditegur sekiranya kawasan yang diwakilinya turut mendapat pelbagai kecaman rakyat mengenai isu-isu semasa dan pembangunan kerana melalui teguran itu nanti beliau akan dapat memperbaiki segala kelemahan yang dibangkitkan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN