TERHARU….Mohd Rafi ketika menziarahi Ahmad yang sakit terlantar di rumahnya.
LABUAN: Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan bersama beberapa pemimpin UMNO empat peringkat menziarahi mantan Ketua UMNO Cawangan Ramsey, Ahmad Zakaria yang terlantar sakit menerusi Program Peduli Rakyat.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) menzahirkan rasa terharu dan rasa terkejut dengan keadaan Ahmad yang sebelum ini disifatkan sebagai salah seorang Ketua Cawangan yang kuat bekerja memperjuangkan parti dan seorang yang berdidikasi.
Pada kesempatan itu, beliau turut manyampaikan sumbangan peribadi berupa wang tunai dan juga keperluan lain seperti susu dan lampin pakai buang yang disampaikan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian, Hajah Niswati Tarji.
Ahmad, 67, yang juga pesara kakitangan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia, sebelum ini disahkan menghadapi masalah hilang daya ingatan atau amnesia.
Menurut isterinya, Normah Ahmad keadaan suaminya semakin susut akibat tidak dapat makan secara normal dan hanya meminum susu khas dengan bantuan tiub yang disalurkan ke dalam hidung bagi memulihkan tenaga.
Beliau (Normah) turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO Bahagian, khususnya kepada Mohd Rafi yang datang menziarahi serta menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
Sementara itu, Mohd Rafi turut mendoakan agar Allah dapat mengurniakan kesembuhan segerakepada Ahmad serta mendoakan agar keluarga Ahmad sentiasa bertabah ketika berdepan dengan ujian Allah.