Nurmiyati bersama ahli Puteri yang lain ketika menyerahkan bantuan beras kepada bakal pengantin
LABUAN: Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Labuan meneruskan sumbangan beras menerusi Program Peduli Rakyat kepada tujuh pasangan pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan minggu depan.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Labuan, Nurmiyati Jumat berkata, pada minggu ini giliran Puteri untuk menyampaikan sumbangan beras kepada tujuh pasangan pengantin yang melibatkan lima buah kampung di sekitar Labuan.
“Setiap bakal pengantin akan menerima 100 kilogram beras dan inisiatif ini sebagai usaha berterusan UMNO Labuan membantu meringankan beban keluarga pengantin dan pada masa sama dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat khususnya keluarga pengantin” katanya di sini kelmarin.
Untuk rekod Program Peduli Rakyat merupakan inisiatif UMNO Labuan dengan memberi bantuan sebanyak 100 kg beras kepada setiap keluarga yang akan melangsungkan majlis perkahwinan, manakala 50 kg beras di sumbangkan kepada keluarga yang ditimpa musibah (kematian).
Program Peduli Rakyat UMNO yang telah pun memasuki tahun ke dua ini adalah hasil cetusan idea Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.
Program cetusan Mohd Rafi ini secara tidak langsung telah memperkasakan parti UMNO sebagai sebuah parti yang prihatin rakyat.



