SUHAILI (tengah) memotong rebin simbolik perasmian pusat pertukaran kru minyak dan gas di jeti ASB kelmarin.
LABUAN:Pusat Kemudahan Pertukaran Kru membabitkan kakitangan dan pekerja Minyak dan Gas yang mula beroperasi di Asian Supply Base And Bhd (ASB) dijangka mampu merancakan semula ekonomi Labuan.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, Pusat Kemudahan Pertukaran Kru yang dianggarkan tidak kurang 4,000 dalam sebulan itu merupakan berita baik kepada ekonomi Labuan.
“Ini kerana dengan bermulanya pertukaran kru kakitangan dan pekerja minyak dan gas membolehkan industri perhotelan, restoran dan peniaga meningkatkan sumber ekonomi dan secara tidak langsung merancakkan semula pertumbuhan ekonomi Labuan” ,katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Pusat Kemudahan Pertukaran Kru di ASB di sini, pagi kelmarin.
Suhaili yang juga Pengerusi ASB berkata, pusat berkenaan telahpun diwartakan oleh Menteri Dalam Negeri sebagai pintu masuk dan keluar untuk pemeggang pas pekerja yang dikeluarkan oleh Pengarah Imigresen Sabah bagi industri minyak dan gas.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Sabah juga meluluskan peruntukan RM 25 juta menerusi dana dalaman ASB untuk membangunkan kemudahan pertukaran anak kapal sendiri yang dijangka siap selewatnya November ini serta bakal menjadi antara kemudahan pertukaran anak kapal termoden di negara ini.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Datuk Jaafar Estaban, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib, Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh. Saleha Habib Yusoff dan Pengarah Jabatan Imigresen Labuan, Reymond Anak Entalai.



