MAKLUM BALAS…..Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahmun Fauzi ketika menyampaikan pandangan dan maklum balas PTPN 2021-2025.
LABUAN: Segala pandangan dan aspirasi rakyat yang dikumpul menerusi Program Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 bertujuan untuk memperkukuhkan lagi Pelan Pembangunan Tindakan Perpaduan Negara.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan Labuan Esther Dingkawan berkata, pembabitan rakyat termasuk warga Labuan dalam sesi berkenaan amat penting untuk mendapatkan input bagi meningkatkan semula penghayatan Rukun Negara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“PTPN 2021-2025 dirangka bertujuan untuk memantapkan dan memperkukuhkan perpaduan negara yang lebih inklusif ke atah kemakmuran bersama” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.
Program yang dihadiri lebih 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dan ketua-ketua jabatan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi di Mini Auditorium, Anjung Budaya Perbadanan Labuan, di sini, pada Sabtu.
Ibrahim dalam ucapannya menyeru agar semua lapisan masyarakat berganding bahu dan sentiasa memberi kerjasama dalam menyokong aspirasi kerajaan memartabatkan dan memperkukuhkan perpaduan dan kemakmuran bersama.
Sesi yang berlangsung hampir tiga jam itu telah berjaya mengumpulkan pelbagai maklum balas yang bernas oleh para peserta untuk diangkat dalam PTPN 2021-2025.
Hadir sama, Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad.