JUARA…. Mohammad Khairul menyampaikan piala pusingan kepada Cikgu Satia selaku Ketua pasukan PSSCHG Lingkungan.
LABUAN: Persatuan Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib (PSSCHG) Gelanggang Lingkungan dari Sipitang Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Seni Silat Peguruan Cengkam Harimau Ghaib Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan 2023.
Pasukan yang dipimpin oleh Cikgu Satia Janudin membawa pulang sebuah piala rebutan dan wang tunai selepas mengumpul 5 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa.
Naib johan dimenangi oleh PSSCHG Gelanggang Tanjung Aru yang berjaya mengutip 3 emas, 4 perak dan 3 gangsa diikuti tempat ketiga PSSCHG Gelanggang Saguking dengan kutipan 3 emas dan 4 perak.
Tempat keempat dimenangi oleh PSSCHG Gelanggang Sungai Labu yang berjaya mengutip 1 emas, dua perak dan 4 gangsa.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Khalid Abdul Ghani mewakili Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.
Kejohanan yang dianjurkan oleh PSSCHG Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjsama Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Wilayah Persekutuan Labuan telah disertai seramai 216 peserta melibatkan 9 buah pasukan Gelanggang PSSCHG termasuk Gelanggang Lingkungan Sipitang sebagai pesilat jemputan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib (PSSCHG) Wilayah Persekutuan Labuan, Aziz Japar berkata, kejohanan yang julung kalinya diadakan ini sebagai salah satu usaha PSSCHG Labuan dalam melahirkan lebih ramai pesilat muda yang berpotensi untuk digilap sekaligus memartabatkan silat sebagai seni warisan yang perlu dipertahankan oleh generasi muda masa kini.
“Sebelum ini PSSCHG Labuan telah berjaya melahirkan beberapa atlit (pesilat olahraga) yang telah berjaya dipilih untuk mewakili negara dalam beberapa kejohanan silat antarabangsa seperti Haji Amir Abdul Rahman, Siti Shazwana Ajak dan juga Hamidah Mulok yang pernah menjadi Ketua Jurulatih Pesilat Wanita Negara…. Semoga selepas ini akan lebih ramai lagi pesilat Labuan dapat diangkat untuk mewakili negara” katanya.
Hadir sama, Yang Di Pertua PESAKA Wilayah Persekutuan Labuan, Mohammad Khairul Abdul Ghani, Ketua kampung Sungai Labu, Anuar Maksum dan Ketua kampung Saguking, Osman Abdul Kadir.



